KUALA LUMPUR 4 April - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan prospek Magni-Tech Industries Bhd lebih cerah didorong perkembangan pasaran sukan memandangkan pakaian sukan kasual (athleisure) semakin popular.
Perkembangan tersebut, kata firma penyelidikan itu, sepatutnya memberi petanda baik untuk pertumbuhan jangka panjang Magni-Tech.
“Memandangkan pelanggan utama kumpulan itu secara strategik telah mengeluarkan lebihan inventori yang terbina semasa wabak, kami percaya tahap inventorinya berkemungkinan berkurangan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu berpendapat, ia sepatutnya membawa kepada potensi peningkatan pesanan dalam separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24), di samping pertumbuhan jangka panjang kumpulan akan disokong oleh pasaran sukan yang semakin berkembang.
“Menurut Grand View Research, pasaran sukan global dijangka berkembang pada CAGR 8 tahun sebanyak 8.9% kepada AS$662.6 bilion menjelang 2030,” kata firma itu dengan menjangkakan jualan pulih pada tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24).
Di samping itu, kumpulan itu sedang mempelbagaikan asas pendapatannya dengan potensi pengambilalihan syarikat di Indonesia yang merupakan pengeluar peralatan asli (OEM) untuk beberapa gergasi pakaian sukan lain.
“Selain itu, Magni-Tech juga sedang merancang untuk melancarkan produk baharu seperti ‘down jacket’ sintetik yang kami percaya ia sepatutnya dapat memperoleh margin lebih tinggi memandangkan proses pembuatan yang sangat teknikal,” tambahnya.
Firma itu terus memihak kepada kumpulan tersebut memandangkan ia mempunyai hasil dividen menarik dan kedudukan kunci kira-kira kukuh dengan kedudukan tunai bersihnya sebanyak RM478 juta (sehingga suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23)) dengan sifar pinjaman.
Nisbah pembayaran dividen diramalkan sebanyak 35%, diterjemahkan kepada hasil dividen yang menarik sebanyak kira-kira 5%.
AmInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.25 sesaham.
Setakat pukul 11:33 pagi 4 April 2023, saham Magni-Tech kekal pada RM1.76 sesaham memberikan pasaran modal sebanyak RM763.75 juta. -DagangNews.com








