Lapangan terbang MAHB lepasi paras lima juta pergerakan penumpang bulanan buat kali pertama | DagangNews Skip to main content

Lapangan terbang MAHB lepasi paras lima juta pergerakan penumpang bulanan buat kali pertama

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Pergerakan penumpang bulanan untuk kumpulan lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) di Turki melepasi paras lima juta buat kali pertama pada Disember 2021. 

 

Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood berkata, Kumpulan mencatatkan sejumlah 5.35 juta pergerakan penumpang di mana operasi Malaysia menyumbang 3.11 juta atau 58%, dan ISG menyumbang 2.23 juta atau 42%. 

 

Katanya, bagi Malaysia, pertumbuhan itu didorong kebanyakannya oleh trafik domestik yang mencatatkan 2.80 juta penumpang, peningkatan 30% daripada 2.16 juta penumpang pada November, berikutan cuti perayaan akhir tahun yang panjang. 

 

Sementara itu ujarnya, pergerakan penumpang antarabangsa juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan daripada November sebanyak 114% kepada 320,371 pergerakan pada bulan Disember. 

 

"Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh penyambungan semula perjalanan umrah dan pelaksanaan program Lorong Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura. 

 

"Bagaimanapun, Malaysia Airports mengekalkan pandangan berhati-hati kerana kedua-dua perjalanan Umrah dan program VTL digantung buat sementara waktu berdasarkan perkembangan semasa varian Omicron COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, melihat kepada permintaan yang dijana oleh program VTL, seperti yang dibuktikan oleh penerbangan yang habis dijual, adalah jelas bahawa program sebegini akan menjadi pemangkin untuk pemulihan perjalanan udara. 

 

"Kita juga boleh melihat permintaan yang sama timbul daripada penyambungan semula perjalanan umrah sejak Oktober.

 

"Prestasi trafik Disember 2021 kami sudah berada pada 41.6% daripada tahap sebelum COVID-19," jelasnya.

 

Selaras dengan pertumbuhan pergerakan penumpang di Malaysia, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 40,147 pergerakan pesawat pada bulan Disember, meningkat 21% daripada November.  -DagangNews.com