Sepanjang hampir tiga dekad saya terlibat dalam bidang perancangan harta dan pewarisan, saya berpeluang melihat pelbagai bentuk kekayaan yang dibina oleh usahawan Malaysia.
Ada yang bermula dengan sebuah kedai kecil sebelum berkembang menjadi syarikat bernilai puluhan malah ratusan juta ringgit. Ada yang membina empayar perniagaan yang mampu menyediakan pekerjaan kepada ratusan orang.
Namun, terdapat satu perkara yang sering menarik perhatian saya. Apabila sesebuah perniagaan keluarga gagal, puncanya selalunya bukan kerana perniagaan itu tidak menguntungkan. Bukan juga kerana produk yang dijual tidak lagi mendapat sambutan, dan bukan kerana kekurangan modal.
Sebaliknya, punca sebenar kegagalan sering bermula di dalam rumah, bukannya di dalam pejabat.
Dengan kata lain, banyak perniagaan keluarga gagal bukan kerana masalah perniagaan, tetapi kerana masalah manusia dalam keluarga usahawan itu sendiri.
Tidak Membina Pewaris
Ramai usahawan menghabiskan masa puluhan tahun membina syarikat mereka.
Mereka menghadiri mesyuarat tanpa henti, mencari pelanggan baharu, mengurus pekerja dan menyelesaikan pelbagai masalah operasi setiap hari. Mereka memberi perhatian yang luar biasa terhadap pembangunan perniagaan.
Malangnya, dalam kesibukan membina syarikat, mereka terlupa membina pewaris yang bakal meneruskan perjuangan tersebut. Mereka mempunyai pelan pemasaran. Mereka mempunyai pelan kewangan. Mereka mempunyai pelan pengembangan perniagaan.
Tetapi mereka tidak mempunyai pelan pewarisan.
Pelan pewarisan ini bukan sahaja melibatkan pewarisan saham, malah merangkumi aspek pengurusan atau business succession plan.
Akibatnya, apabila pengasas meninggal dunia atau tidak lagi mampu memimpin syarikat, organisasi yang selama ini bergantung kuat kepada seorang individu mula kehilangan arah. Perniagaan yang dibina selama 30 tahun boleh mula merosot dan musnah dalam tempoh hanya beberapa tahun.
Masalah Terbesar Bukan Persaingan Tetapi...
Ramai pemilik syarikat bimbang tentang persaingan pasaran. Mereka bimbang tentang teknologi baharu. Mereka bimbang tentang keadaan ekonomi.
Namun ancaman terbesar kepada kebanyakan perniagaan keluarga sebenarnya bukan datang daripada faktor luaran.
Ia datang daripada meja makan keluarga di rumah.
Ketika pengasas masih hidup, semua ahli keluarga menghormati keputusannya. Namun apabila beliau tiada, pelbagai rasa tidak puas hati yang selama ini terpendam mula muncul.
Ada waris yang mahu memperoleh keuntungan segera dengan menjual saham syarikat. Ada pula yang mahu mengambil tanggungjawab untuk mengembangkan syarikat ke tahap lebih tinggi.
Tidak kurang juga waris yang langsung tidak berminat menguruskan syarikat tetapi mahu terus menikmati manfaat daripada pemilikannya. Perbezaan matlamat inilah yang akhirnya mencetuskan konflik.
Saya pernah melihat keluarga yang berjaya hidup harmoni selama puluhan tahun menjadi bermusuhan hanya kerana gagal mencapai kata sepakat mengenai sebuah syarikat yang diwarisi.
Ironinya, syarikat yang pada asalnya diwujudkan untuk memberi manfaat kepada keluarga akhirnya menjadi punca perpecahan keluarga itu sendiri.
Harta Mudah Diwariskan, Nilai Tidak
Seorang jutawan pernah menceritakan kepada saya bagaimana beliau boleh membuka sendiri pintu keretanya untuk masuk ke pejabat, tetapi anak lelaki sulungnya pula tidak akan keluar dari kereta sehingga pintunya dibuka oleh pengawal keselamatan.
Jika sibuk, beliau boleh makan tengah hari dengan nasi bungkus yang dibeli pemandunya di warung tepi jalan, tetapi anak lelakinya hanya mahu makan di restoran lima bintang.
Inilah yang saya maksudkan sebagai perbezaan nilai.
Jutawan itu bertungkus-lumus dan berkorban segalanya untuk memajukan syarikat, tetapi anaknya dilahirkan dalam keadaan mewah dan tidak mengetahui betapa sukarnya perjalanan untuk sampai ke tahap tersebut.
Ramai pengasas memberi tumpuan kepada bagaimana aset mereka akan diwariskan. Mereka memikirkan tentang saham, bangunan, wang tunai dan pelbagai bentuk kekayaan lain. Aset-aset ini sebenarnya mudah diwariskan melalui dokumen, namun aset yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah nilai.
Nilai pengorbanan, disiplin, integriti, kesungguhan, kerajinan dan keberanian berdepan ujian.
Inilah nilai yang sebenarnya membolehkan pengasas membina kejayaan syarikat. Malangnya, nilai tidak boleh dipindahkan melalui dokumen. Nilai tidak boleh dipindahkan melalui sijil saham. Nilai tidak boleh dipindahkan melalui faraid.
Jika generasi kedua hanya menerima harta tetapi gagal menghayati nilai tersebut, maka kekayaan itu tidak akan bertahan lama. Atas sebab itulah kita sering melihat kekayaan yang mengambil masa puluhan tahun untuk dibina akhirnya hilang dalam tempoh yang jauh lebih singkat.
Ramai Pemilik Perniagaan Salah Faham Tentang Pewarisan
Apabila disebut tentang pewarisan, ramai yang terus memikirkan soal pembahagian harta. Dalam konteks perniagaan, sebenarnya pembahagian saham hanyalah sebahagian kecil daripada proses pewarisan.
Pewarisan yang sebenar ialah memastikan organisasi mampu terus berfungsi walaupun tanpa kehadiran pengasas.
Persoalannya, berapa ramai pemilik syarikat yang telah mengenal pasti pengganti mereka?
Berapa ramai yang telah melatih generasi kedua untuk membuat keputusan strategik? Berapa ramai yang telah menyediakan struktur tadbir urus yang jelas bagi mengelakkan konflik keluarga? Berapa ramai usahawan yang telah menyediakan barisan pelapis kepimpinan syarikat?
Hakikatnya, ramai yang belum melakukannya. Mereka menganggap masih ada masa.
Faraid Menentukan Pemilikan, Bukan Kepimpinan
Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa faraid ialah ketetapan Allah SWT yang adil dalam menentukan hak pemilikan harta pusaka.
Namun terdapat satu perkara yang perlu difahami.
Faraid menentukan siapa yang memiliki harta dan berapa banyak bahagiannya. Namun faraid tidak menentukan siapa yang paling layak, berkebolehan dan mempunyai kemahiran untuk memimpin perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam banyak keadaan, saham syarikat akan diwarisi oleh ramai waris yang mempunyai latar belakang, minat dan tahap keupayaan yang berbeza. Jika tiada perancangan pewarisan perniagaan dibuat lebih awal, keadaan ini boleh mewujudkan cabaran besar terhadap kelangsungan syarikat.
Atas sebab itulah pemilik perniagaan perlu melihat perancangan pewarisan sebagai satu proses strategik yang holistik dan bukannya sekadar proses pembahagian aset.
Wasiyyah telah berpengalaman selama 22 tahun membantu usahawan Muslim melalui proses ini. Insya-Allah, kami boleh membantu.
Legasi Bukan Tentang Berapa Banyak Yang Kita Tinggalkan
Ramai orang mengukur kejayaan berdasarkan jumlah kekayaan yang berjaya dikumpulkan.
Namun apabila kita melihat sejarah perniagaan keluarga yang berjaya bertahan merentasi beberapa generasi, kita akan mendapati bahawa kekuatan sebenar mereka bukan terletak pada jumlah harta yang dimiliki.
Sebaliknya, kekuatan mereka terletak pada sistem yang dibina.
Mereka mempunyai nilai yang dikongsi bersama dan budaya keluarga yang jelas. Mereka mempunyai tadbir urus keluarga yang mampu menjadi mekanisme pencegahan serta penyelesaian konflik.
Mereka mempunyai pelan pewarisan yang tersusun dan disediakan oleh profesional berpengalaman. Mereka membangunkan pemimpin sebelum pemimpin diperlukan.
Pendek kata, mereka tidak bergantung kepada seorang individu. Mereka membina sebuah institusi yang bersistem.
Peringatan Untuk Usahawan
Ramai usahawan beranggapan bahawa cabaran terbesar mereka ialah membina perniagaan yang berjaya. Sebenarnya, cabaran yang lebih sukar ialah memastikan perniagaan tersebut terus berjaya selepas mereka tiada.
Membina kekayaan memerlukan kerja keras. Mengekalkan kekayaan merentasi generasi memerlukan kebijaksanaan. Membina syarikat memerlukan seorang usahawan. Tetapi membina legasi memerlukan seorang pemimpin.
Akhirnya, persoalan yang perlu ditanya oleh setiap pemilik perniagaan bukanlah berapa besar syarikat yang berjaya dibina. Sebaliknya, adakah syarikat itu mampu terus memberi manfaat kepada keluarga, pekerja dan masyarakat selepas ketiadaan mereka?
Kerana pada akhirnya, ujian sebenar sesebuah perniagaan keluarga bukan ketika pengasasnya masih hidup, tetapi apabila pengasasnya sudah tiada.
Kepada para usahawan, datanglah ke Wasiyyah. Insya-Allah, kami boleh membantu menunjukkan jalannya. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









