Di bawah panji-panji Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), satu sesi pembentangan strategik telah diadakan Rabu lalu di Kuantan yang melibatkan para pengurusan koperasi di seluruh negeri ini.
Sebagai pemudah cara dan pembentang, penulis berkesempatan untuk berkongsi hala tuju baharu mengenai Penetapan Fi dan Caj ke atas Produk Kewangan dan Perkhidmatan di Koperasi.
Sesi yang dianjurkan oleh ANGKASA ini bukan sekadar satu latihan teknikal biasa, malah merupakan satu langkah transformasi minda yang amat penting bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan gerakan koperasi di Malaysia, khususnya dalam konteks kewangan Islam.
Gerakan koperasi di Malaysia yang majoritinya beroperasi berlandaskan prinsip Syariah sering dilihat sebagai alternatif yang lebih adil dan mesra rakyat berbanding institusi kewangan konvensional.
Namun, cabaran terbesar yang dihadapi hari ini bukan lagi soal keuntungan semata-mata, tetapi bagaimana untuk mengekalkan kepercayaan ahli dalam ekosistem yang semakin kompleks dan dikawal selia dengan ketat.
Tujuan utama latihan ini diadakan adalah untuk memastikan barisan pengurusan memahami secara mendalam mengapa Syariah begitu menekankan ilmu berkaitan penetapan fi dan caj ini. Tanpa kefahaman yang jitu, reputasi koperasi boleh tercalar, sekali gus menjejaskan objektif asal penubuhan koperasi demi kerahmatan (rahmah) kepada anggota-anggotanya.
Dalam pembentangan tersebut, penulis menekankan peralihan paradigma daripada sekadar mengikut "amalan industri" kepada menerima pakai "Standard BNM" sebagai penanda aras utama.
Walaupun koperasi berada di bawah seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), piawaian yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kewangan Islam merupakan standard tertinggi yang menjamin keadilan, ketelusan dan pematuhan Syariah yang tidak boleh dikompromi.
Beralih kepada standard BNM
Penulis menjelaskan kepada para peserta bahawa pengurusan koperasi perlu memandang serius Garis Panduan BNM mengenai fi dan caj. Ini kerana dalam Islam, harta ialah amanah yang mesti diurus dengan penuh integriti.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 29: "Janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil."
Ayat ini menjadi garis merah yang tidak boleh dilanggar. Setiap caj yang dikenakan mestilah sebagai balasan atas perkhidmatan yang nyata, bukannya sekadar alat untuk mencari keuntungan tambahan yang boleh membebankan ahli.
Bagi memastikan setiap caj yang bakal diperkenalkan memenuhi piawaian Syariah, penulis memperkenalkan Matriks Syariah yang mengandungi lima soalan wajib yang perlu dijawab oleh pihak pengurusan sebelum meluluskan sebarang fi baharu:
1. Adakah ia dibenarkan oleh badan kawal selia (BNM/SKM)?
2. Adakah ia disokong oleh kontrak yang sah seperti Wakalah atau Ujrah?
3. Adakah ia berasaskan ekonomi yang jelas dengan bukti kos sebenar?
4. Adakah terdapat justifikasi Syariah yang kukuh?
5. Adakah ia bersifat adil dan munasabah kepada ahli?
Lima elemen ini iaitu Kawal Selia, Kontrak, Ekonomi, Syariah dan Keadilan perlu menjadi rujukan utama dalam mana-mana mesyuarat jawatankuasa koperasi.
Penulis menegaskan bahawa jika salah satu daripada elemen ini gagal dipenuhi, maka caj tersebut berpotensi membawa kepada unsur riba atau zalim yang sudah tentu akan merosakkan reputasi koperasi di mata ahli dan masyarakat.
Satu daripada prinsip asas yang paling penulis tekankan ialah konsep "No Service, No Fee". Prinsip ini sangat mudah namun sering dilupakan, iaitu caj hanya boleh dikenakan apabila terdapat perkhidmatan, usaha atau manfaat yang jelas diterima oleh ahli. Tiada caj boleh dikenakan semata-mata kerana ahli mempunyai hutang atau akaun dengan koperasi.
Penulis memberikan contoh praktikal seperti caj pemprosesan pinjaman. Dari perspektif Syariah, caj ini adalah halal kerana ia merupakan upah (Ujrah) atas kerja yang dilakukan oleh warga kerja koperasi. Mereka menggunakan masa, tenaga dan sistem teknologi untuk memproses permohonan tersebut.
Namun, jika koperasi mengenakan caj penyelenggaraan bagi akaun yang tidak aktif atau caj akaun dorman, sedangkan ahli tidak menerima sebarang manfaat, maka caj tersebut tidak mempunyai asas kontrak yang sah dan perlu dielakkan.
Elak caj berganda dan caj tersembunyi
Sesi latihan ini turut memfokuskan kepada pengenalpastian risiko atau red flag. Para pengurusan perlu berwaspada terhadap amalan double dipping atau caj berganda. Mengenakan caj pendaftaran dan caj onboarding bagi satu proses yang sama adalah dilarang. Ia memberi gambaran buruk kepada ahli dan boleh dianggap sebagai pengambilan harta secara tidak adil.
Selain itu, isu gharar (ketidakpastian) atau caj tersembunyi turut dibincangkan secara mendalam. Ketelusan ialah kunci. Caj yang hanya dinyatakan dalam fine print atau dimaklumkan selepas kontrak dimeterai mengandungi unsur gharar.
Ahli mestilah memberikan keizinan dengan rela hati setelah mengetahui jumlah dan tujuan caj tersebut. Jika ahli bertanya, "Untuk apa caj ini?", warga kerja mestilah mempunyai jawapan yang jelas, munasabah dan boleh dibuktikan dengan fakta.
Isu caj lewat bayar sering menjadi titik pertikaian dalam kalangan ahli koperasi. Dalam pembentangan ini, penulis menjelaskan perbezaan yang sangat kritikal antara Ta'widh dan Gharamah.
Ta'widh ialah ganti rugi atas kerugian sebenar yang ditanggung oleh koperasi akibat kelewatan bayaran. Caj ini mesti mengikut kos sebenar, memerlukan dokumentasi yang lengkap dan boleh dimasukkan sebagai pendapatan koperasi.
Sebaliknya, Gharamah ialah penalti yang bertujuan sebagai langkah pencegahan. Menurut panduan Syariah, penalti ini tidak boleh dijadikan sumber pendapatan institusi. Wang yang dikutip melalui Gharamah mestilah disalurkan ke tabung kebajikan koperasi. Pemisahan yang jelas antara kedua-dua konsep ini penting bagi memastikan koperasi tidak terjebak dalam amalan riba yang tersembunyi.
Di samping aspek teknikal dan perundangan, penulis tidak lupa menyentuh tentang roh atau semangat Syariah itu sendiri, iaitu rahmah (kasih sayang). Koperasi sebagai institusi kewangan sosial perlu mempunyai kepekaan terhadap golongan rentan. Penulis mencadangkan agar pengurusan tidak mengenakan caj penstrukturan semula kepada ahli yang menghadapi masalah kewangan (mu'sir) atau golongan warga emas.
Keadilan membawa keberkatan
Inilah yang membezakan koperasi daripada bank komersial. Tanggungjawab sosial kita adalah untuk memastikan ahli yang susah tidak dizalimi oleh sistem kewangan.
Jika koperasi mampu menunjukkan belas ihsan dalam pengurusan caj, ia akan meningkatkan kesetiaan ahli dan mengukuhkan kedudukan koperasi sebagai payung kepada masyarakat.
Sesi ini ditutup dengan satu peringatan yang amat penting kepada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pematuhan ini.
Kegagalan mematuhi prinsip Syariah bukan sahaja menjejaskan reputasi, malah boleh mengundang risiko perundangan dan menghakis keyakinan ahli.
Namun, di sebalik ancaman risiko tersebut, terdapat satu ganjaran yang tidak ternilai sekiranya pengurusan melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan.
Penulis mengakhiri pembentangan dengan menekankan bahawa keberkatan akan menjelma apabila segala-galanya dilaksanakan dengan tulus ikhlas.
Dalam Islam, keberkatan membawa maksud pertambahan nilai, keberkatan masa dan keberkatan harta. Apabila ahli merasakan bahawa koperasi mengamalkan keadilan dalam penetapan caj, mereka akan berasa tenang dan yakin untuk menyimpan serta meminjam daripada koperasi.
Keadilan dalam penetapan caj ialah kunci kepada keberkatan dan kelestarian koperasi. Apabila wang ahli diurus secara adil dan telus, ia akan membawa barakah dalam operasi harian.
Sebaliknya, jika caj dikenakan secara zalim atau menipu, ia akan menghilangkan barakah dan membuka pintu kepada kerugian yang lebih besar.
Secara keseluruhannya, latihan yang dianjurkan oleh ANGKASA di Kuantan ini merupakan satu langkah proaktif dalam mempersiapkan pengurusan koperasi Pahang menghadapi cabaran semasa.
Penekanan kepada ilmu Syariah dalam penetapan fi dan caj adalah demi menjaga reputasi koperasi serta memastikan kerahmatan kepada seluruh anggotanya. - DagangNews.com








