KUALA LUMPUR 13 Jan - KESM Industries Bhd. optimis terhadap prospek pasaran automotif bagi tahun ini yang merupakan sektor paling pantas berkembang dalam industri semikonduktor.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KESM, Sam Lim berkata, ia bukan sahaja menyaksikan jualan kenderaan global meningkat, tetapi peralihan kepada kenderaan elektrik dan juga pemanduan sendiri mewujudkan permintaan yang lebih tinggi terhadap kandungan elektronik bagi semikonduktor automotif.
Katanya, perkembangan ini turut mendorong kepada keperluan untuk cip komunikasi yang lebih kompleks, melebihi yang digunakan dalam aplikasi kereta yang telah menjadi salah satu pasaran terbesar yang dalam industri semikonduktor.
"Kami melihat banyak peluang dengan pertumbuhan kukuh dalam industri semikonduktor dan kami akan terus melabur untuk memanfaatkan peluang ini.
"Sebagai persediaan dalam menghadapi pertumbuhan ini, kami melabur dalam peralatan baharu dan menerusi ruang tambahan di Melaka, kami bersedia untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-50.
KESM mengakhiri tahun kewangan 2021 dengan untung bersih sebanyak RM7.3 juta, daripada kedudukan pulang modal tahun lalu.
Meskipun permintaan di luar jangkaan dalam kebanyakan sektor pasaran telah menyebabkan masalah kekurangan dalam komponen semikonduktor dan juga impak pandemik COVID-19, tetapi kumpulan berjaya merekodkan prestasi yang baik.
Ini membolehkan kumpulan pada 24 Ogos lalu mengumumkan bayaran interim dividen sebanyak 3 sen bagi setiap saham biasa berjumlah RM1.3 juta.
Selain itu, pengecualian cukai akhir dividen 6 sen berjumlah RM2.6 juta juga telah diluluskan sebelum ini ketika AGM.
Lim menyifatkan penglibatan KESM selama 40 tahun dalam industri memainkan peranan penting kepada para pelanggannya yang merupakan pembekal utama semikonduktor global kepada pengeluar automotif. - DagangNews.com








