Kenanga Research kekal penarafan “overweight” bagi sektor kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan “overweight” bagi sektor kesihatan

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 4 April - Kenanga Research mengekalkan penarafan “overweight” bagi sektor kesihatan dengan tiga kategori dilihat sebagai pemangkin pendapatan bagi bidang tersebut.

 

Ketiga-tiga bidang itu adalah hospital swasta (pembedahan elektif), farmaseutikal dan ubat-ubatan tanpa preskripsi (kesedaran kesihatan yang semakin meningkat) dan imunoterapi (meningkatkan penggunaan kaedah rawatan kanser).

 

Firma itu berkata, ia menyukai penyedia penjagaan kesihatan swasta berikutan permintaan kepada sektorctersebut yang tidak anjal dan perbelanjaan penjagaan kesihatan global yang semakin meningkat yang diunjurkan mencecah AS$10 trilion menjelang 2026.

 

“Kami menjangkakan permintaan pesakit domestik dan antarabangsa serta pelancongan perubatan akan terus pulih sepanjang 2023, ia dijangka didorong oleh kembalinya pembedahan elektif dalam tempoh segera.

 

“Pada masa sama, prospek jangka panjang penjagaan kesihatan swasta disokong oleh peningkatan kemewahan dan populasi yang semakin tua,” kata Kenanga Research dalam satu nota kajian.

 

Firma itu turut menamakan KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) dengan harga sasaran (TP)RM1.50 dan Kotra Industries Bhd. (Kotra) pada TP RM7, sebagai pilihan utama.

 

Bagi KPJ Healthcare, Kenanga Research menjangkakan daya pengeluaran pesakitnya meningkat 14% (berbanding 12% pada FY22) dengan kadar penggunaan katil (BOR) sebanyak 66% (berbanding 58% 

pada 2022).

 

Tambahnya, ia didorong oleh pemulihan dalam permintaan untuk perkhidmatannya khususnya bukan berkaitan Covid-19 termasuk pembedahan elektif.

 

“Kami menyukai KPJ Healthcare kerana kuasa penetapan harganya sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta dan kedudukan pasarannya yang kukuh di dalam negara dengan rangkaian terbesar 28 hospital swasta (berbanding 16 daripada IHH pemain terbesar seterusnya),” katanya.

 

Firma itu turut memilih Kotra kerana model perniagaan bersepadunya yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada R&D, konsep produk kepada pembuatan dan jualan, dan margin model perniagaan pembuatan jenama (OBM) asalnya (berbanding pembuatan kontrak margin rendah). - DagangNews.com