Kementerian Kewangan wujudkan portal bantuanbanjir.com bagi memudahkan penyaluran maklumat | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan wujudkan portal bantuanbanjir.com bagi memudahkan penyaluran maklumat

KUALA LUMPUR 17 Jan - Dalam usaha memudahkan penyaluran maklumat kepada orang ramai berkaitan bantuan banjir, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan membangunkan portal bantuanbanjir.com.

 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, menerusi portal itu semua maklumat mengenai bantuan kerajaan kepada mangsa banjir disediakan di bawah satu bumbung dalam usaha memudahkan rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.  

 

Beliau berkata, senarai penuh bantuan kerajaan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain bagi membaiki rumah serta baucar membaiki kenderaan tersedia di bawah portal tersebut.

 

Beliau memberitahu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion bagi mangsa banjir di negara ini, dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terlibat.

 

“Semasa saya menyertai pelbagai program bantuan banjir, ramai mangsa yang berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang disalurkan tapi satu perkara yang sering ditanya, bagaimana untuk mendapatkan maklumat bagi memohon bantuan.

 

“Memang betul dengan pelbagai agensi terlibat dalam penyaluran bantuan mesti ramai yang hendak tahu bagaimana cara dapatkan bantuan.

 

"Semuanya ada di sini dan boleh baca bagi mendapatkan maklumat lanjut,’’ katanya dalam satu video di laman Facebook mengenai portal berkenaan.

 

Beliau berkata, portal berkenaan dilengkapi langkah-langkah memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi penyelaras bantuan. - DagangNews.com