Kemasukan buruh asing pulih prestasi industri sawit - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemasukan buruh asing pulih prestasi industri sawit - MPOB

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Prestasi industri sawit terutamanya pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) mula meningkat sedikit apabila situasi buruh bertambah baik menjelang separuh kedua tahun ini.

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penggantungan sementara pengambilan pekerja asing telah ditarik balik pada awal 2022, namun disebabkan beberapa isu, kemasukan pekerja asing ke Malaysia lebih perlahan daripada jangkaan.

 

"Pada separuh pertama 2022, isu masalah buruh yang berterusan telah menjejaskan pengeluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MPOB mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2023 yang akan menangani isu utama dalam industri sawit Malaysia bagi memastikan ia terus mencatat pertumbuhan pesat ke arah masa depan yang lebih mampan.

 

Ahmad Parveez berkata, penggunaan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat berikutan dasar Indonesia untuk mengenakan mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi.

 

“Berkuat kuasa 1 Februari 2023, Indonesia telah mengenakan mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi, B35 daripada B30 dan dengan itu meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik. 

 

"Perubahan dasar terbaru Indonesia akan menyekat lagi bekalan minyak sawit global dan oleh itu, permintaan untuk minyak sawit Malaysia dijangka meningkat yang seterusnya akan membantu dalam mengurangkan stok minyak sawit domestik yang lebih tinggi," katanya.

 

 

MPOB

 

 

Pengerusi MPOB, Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata, mendahului senarai isu utama ialah keperluan untuk penambahbaikan hasil yang memerlukan perhatian segera memandangkan industri sawit tempatan berdepan hasil terbantut yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan kemampanannya.

 

“Kita perlu mengutamakan pembangunan bahan hasil tinggi melalui bioteknologi termaju, biak baka dan pengklonan, bertujuan meningkatkan ketahanan penyakit, meningkatkan ciri kualiti minyak, serta memastikan daya tahan terhadap perubahan iklim yang akan meningkatkan hasil yang ketara," katanya.

 

Katanya, satu lagi bidang kritikal yang memerlukan penyelesaian inovatif ialah pembangunan mampan kerana pelbagai isu dan kebimbangan telah timbul ketika industri sawit terus berkembang, daripada perubahan guna tanah dan penebangan hutan kepada pencemaran air, udara, dan tanah, serta ancaman kepada biodiversiti dan usaha pemuliharaan.

 

Tambahnya, industri sawit Malaysia akan terus menghasilkan minyak sawit mampan mengikut prinsip dan kriteria yang ditetapkan oleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan setakat 31 Mac 2023, 96.72% daripada jumlah kawasan tanaman sawit di Malaysia telah dipersijilkan dengan MSPO.

 

MPOB telah mengenal pasti dan mengutamakan lima bidang fokus penyelidikan iaitu Prestasi Hasil, Pembangunan Mampan, Mekanisasi & Automasi, Keselamatan Makanan & Pemakanan, dan Penambahan Nilai yang sejajar dengan lima tunjang asas Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

 

Ahli PAC yang terdiri daripada pakar dalam industri minyak dan lemak akan turut membincangkan idea tentang pembangunan alatan inovatif yang boleh membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada buruh manual di ladang sawit. - DagangNews.com