KUALA LUMPUR 15 Julai - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengenalpasti sebanyak empat faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM), antaranya pengeluaran MSM yang rendah.
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin, tiga faktor lain termasuk peningkatan harga minyak kacang soya (SBO), peningkatan harga minyak mentah Brent (BCO) dan prestasi eksport minyak sawit yang kukuh di pasaran utama.
Beliau berkata, harga pasaran minyak sawit sentiasa berubah-ubah berdasarkan kepada faktor asas dan sentimen pasaran semasa.
"Harga minyak sawit telah mula menunjukkan trend peningkatan yang ketara bermula pada pertengahan tahun 2020 dan telah beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022.
"Peningkatan harga MSM telah menyebabkan harga produk minyak sawit termasuk minyak masak meningkat dengan ketara di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, KPPK menyambut baik pengumuman Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai harga minyak masak sawit akan diturunkan secara berperingkat.
Beliau berkata, ia ekoran persetujuan daripada pihak industri minyak masak sawit untuk menyelaraskan harga keperluan tersebut berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.

"Sebelum ini, kementerian telah mengadakan beberapa siri dialog bersama pemain-pemain industri minyak masak sawit untuk mencari penyelesaian menangani isu kenaikan harga barang keperluan ini, tanpa menjejaskan daya saing sektor ini.
"Pihak industri telah memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan dalam hal ini, berasaskan semangat Keluarga Malaysia," katanya.
Bagaimanapun katanya, peningkatan harga minyak masak masih diimbangi kerajaan menerusi subsidi kepada 60,000 tan atau 60,000,000 kilogram minyak masak peket (1 kilogram polibeg) sebulan bagi menampung keperluan pengguna tempatan, terutamanya untuk golongan B40.
"Harga minyak masak paket bersubsidi untuk pengguna tempatan adalah RM2.50 sekilogram, berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM6.00 sekilogram. KPPK yakin dengan kerjasama jentera kerajaan di semua kementerian berkaitan, harga minyak masak akan turun secara berperingkat," katanya.
Tambahnya, kementerian juga akan terus mengadakan sesi libat urus bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk semua terutamanya untuk terus memastikan kebajikan pekebun kecil sawit.
"Selain itu, kementerian komited untuk memastikan industri sawit kekal sebagai sektor komoditi terbesar dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya. - DagangNews.com








