Jumlah penduduk Malaysia cecah 33.2 juta pada suku pertama - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah penduduk Malaysia cecah 33.2 juta pada suku pertama - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Jumlah penduduk di negara ini dianggarkan sebanyak 33.2 juta setakat suku pertama 2023 dengan peningkatan 1.6% berbanding suku sama tahun lepas dengan 32.6 juta, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 30.4 juta (91.7%) warganegara dan 2.8 juta (8.3%) bukan warganegara.

 

Beliau berkata, penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.5 juta berbanding suku pertama 2022, manakala perempuan meningkat 15.5 juta kepada 15.7 juta bagi tempoh sama.

 

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun pertama 2023 iaitu Selangor dengan 21.7% diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (10.4%).

 

Katanya, penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) kekal pada 7.7 juta pada suku tahun pertama 2023 berbanding suku sama sebelumnya.

 

Ujar beliau, komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.6 juta kepada 23.1 juta berbanding suku tahun pertama 2022.

 

 

dosm

 

 

"Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.3 juta kepada 2.4 juta bagi tempoh sama," katanya.

 

Sementara itu katanya, jumlah kelahiran hidup merekodkan peningkatan sebanyak 8.9% iaitu 111,604 kelahiran berbanding suku tahun pertama 2022 dengan 102,466 kelahiran).

 

Bagaimanapun, statistik menunjukkan trend menurun berbanding suku tahun sebelumnya dengan 113,865. Bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,654 kelahiran berbanding 53,950 kelahiran bayi perempuan.

 

"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran dengan 18.9% manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan 361 kelahiran iaitu 0.3%.

 

"Kumpulan umur ibu yang tertinggi direkodkan pada umur 30 hingga 39 tahun iaitu 57,491 dengan 51.5% diikuti umur 20 hingga 29 tahun (41.6%), 40 tahun dan lebih (5.3%) dan kurang daripada 20 tahun (1.6%).

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sebanyak 47,767 kematian telah direkodkan pada suku tahun pertama 2023, penurunan sebanyak 11.7% berbanding suku tahun sama sebelumnya dengan 54,123 kematian.

 

Katanya, bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,357 sementara kematian perempuan sebanyak 20,410 kematian.

 

"Pada tempoh sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian (15.8%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 66 kematian (0.1%).

 

"Bilangan kematian berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 33,687 kematian (70.5%) diikuti umur 41 hingga 59 (19.9%), umur 15 hingga 40 tahun (7.1%) dan umur 0 hingga 14 tahun (2.5%)," katanya.

 

Tambahnya, kematian disebabkan COVID-19 menurun 97.3% dengan 3,457 kematian pada suku tahun pertama 2023 iaitu daripada 3,553 kematian pada suku sama tahun sebelumnya kepada 96 kematian.

 

Kematian disebabkan COVID-19 menyumbang 0.2% daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023.

 

"Selangor merekodkan kematian COVID-19 tertinggi dengan 31 kematian, manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Labuan," katanya. - DagangNews.com