KUALA LUMPUR 27 April - Autocount Dotcom Bhd yang akan disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Mei ini menyatakan bahawa tawaran awam permulaannya (IPO) terlebih langgan sebanyak 167 kali oleh orang awam Malaysia.
Dalam makluman di Bursa Malaysian hari ini, kumpulan tersebut berkata sebanyak 35,436 permohonan untuk 4.62 bilion saham baharu diterima bagi 27.5 juta saham yang disediakan kepada orang awam Malaysia.
Manakala, 12,808 permohonan untuk RM1.55 bilion saham baharu diterima untuk kategori Bumiputera, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 111.3 kali.
Sementara itu, 22,628 permohonan untuk 3.08 bilion saham baharu diterima di bawah kategori awam Malaysia yang lain yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 222.7 kali.
Di sanping itu, 11.01 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh orang yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
“Malacca Securities Sdn Bhd, sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan telah mengesahkan bahawa 55.05 juta saham baharu dan 44.04 juta saham sedia ada untuk permohonan melalui penempatan persendirian telah diserahkan sepenuhnya kepada pelabur terpilih,” tambah kumpulan itu.
Kumpulan itu berkata, notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 9 Mei.
Autocount terlibat dalam pembangunan dan pengedaran perisian pengurusan kewangan yang terdiri daripada perakaunan, tempat jualan (POS) dan senarai gaji. -DagangNews.com








