Industri pembuatan perabot terus berdepan dengan isu kekurangan buruh asing, HLIB kekal penarafan Neutral | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

 Industri pembuatan perabot terus berdepan dengan isu kekurangan buruh asing, HLIB kekal penarafan Neutral

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan penarafan NEUTRAL terhadap sektor pembuatan kayu, namun isu kekurangan buruh yang berterusan dan kos bahan mentah yang meningkat terus menjejaskan keterlihatan pendapatan sektor tersebut.

 

Dalam nota penyelidikannya di sini, HLIB Research berkata, nilai eksport perabot kayu untuk tempoh 10 bulan pertama 2021adalah RM8.15 bilion (-2.8% YoY) 

 

Katanya, nilai eksport yang lebih rendah adalah disebabkan oleh pemberhentian pengeluaran yang lebih lama untuk industri perabot pada 2021 dari Jun hingga pertengahan September.

 

"Tempoh lanjutan penutupan juga mengakibatkan industri perabot Malaysia kehilangan sebahagian daripada bahagian pasarannya kepada pasaran serantau.

 

"Evergreen menonjol sebagai satu-satunya syarikat di bawah liputan kami yang mencatatkan peningkatan pendapatan YTD terutamanya disokong oleh pasaran papan panel yang teguh. 

 

"Pangkalan pengeluaran serantaunya juga membantu mengurangkan kesan pemberhentian pengeluaran di Malaysia kerana ia dapat mengalihkan beberapa pesananya ke Thailand," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, industri pembuatan perabot terus berdepan dengan isu kekurangan buruh asing. 

 

Katanya, walaupun mempunyai kapasiti pengeluaran gantian di kilang mereka, syarikat perabot tidak dapat meningkatkan produktiviti mereka kerana kesesakan pengeluaran yang disebabkan oleh kekurangan buruh. 

 

"Kami difahamkan bahawa kerajaan telah menarik balik larangan pengambilan buruh asing untuk semua sektor, tetapi garis masa kemasukan masih tidak menentu berikutan pengetatan SOP kemasukan pekerja asing hasil daripada varian Omicron.

 

"Namun begitu, sekiranya pengambilan buruh asing menjadi kenyataan, ia akan memberi peluang untuk industri perabot dan akan menjadi pemangkin utama untuk memacu pertumbuhan pendapatan dalam sektor itu pada masa hadapan," katanya. -DagangNews.com