KUALA LUMPUR 10 Mei - Impiana Hotels Berhad mengemukakan cadangan untuk mengambil alih 70% pegangan ekuiti dalam Cafelink (M) Sdn. Bhd.
Cadangan itu disempurnakan melalui Memorandum Persefahaman bersama pemegang saham utama Cafelink, Choo Kok Yeow mewakili pemegang saham sedia ada Cafelink.
Setelah selesai pengambilalihan, kumpulan itu akan memiliki, mengendalikan dan mengurus dua jenama iaitu SOULed OUT dan WIP yang terletak di seluruh Lembah Klang dan Sabah.
Memandangkan pengalaman luas Impiana dalam mengendalikan hotel dan resort, cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada kemajuan untuk melengkapkan perniagaan sedia ada dan berfungsi sebagai peluang untuk mengembangkan lagi portfolio mereka dengan mengembangkan bilangan cawangan di bawah kedua-dua jenama ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Impiana, Datuk Hoo Voon Him berkata, berikutan permintaan pengguna yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya melihat keperluan besar untuk mengembangkan portfolio perniagaan untuk mengekalkan daya saing selain mengikuti permintaan pengguna.
Beliau berkata, pemerolehan itu akan mengembangkan jejak F&B kumpulan dan membina jenama yang telah dikembangkan oleh Cafelink setakat ini.
"Menurut GlobalData, industri perkhidmatan makanan Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 8.9% daripada AS$15.2 bilion pada 2021 kepada USD23.5 bilion pada 2026 dan kami positif terhadap prospek masa depan industri itu.
"Melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk terus meneroka pelbagai peluang potensi sinergi untuk memupuk nilai jangka panjang yang lebih baik untuk para pemegang saham kami," katanya. - DagangNews.com








