IDS, MASA bekerjasama laksanakan penyelidikan mengenai ekonomi akar umbi di Sabah | DagangNews Skip to main content

IDS, MASA bekerjasama laksanakan penyelidikan mengenai ekonomi akar umbi di Sabah

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Mei – Institut Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) akan melaksanakan penyelidikan bersama mengenai ekonomi akar umbi di Sabah.

 

"Adalah diharapkan melalui pemeteraian MoU ini, usaha untuk memahami isu dan cabaran sosioekonomi di Malaysia, khususnya di Sabah, dapat dicapai menerusi aktiviti penyelidikan yang bakal dijalankan.

 

"Ini juga selari dengan objektif Sabah Maju Jaya 2021-2025," kata MASA dalam kenyataan di sini.

 

IDA dan MASA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan, khidmat masyarakat dan perkongsian kepakaran di Penampang, Sabah hari ini.

 

Pemeteraian MoU ini adalah susulan daripada kunjungan hormat MASA ke IDS pada tahun 2022, yang membolehkan kedua-dua pihak meneroka bidang-bidang penting penyelidikan secara bersama dalam merangka input dasar dan strategi pembangunan negara ke arah kemakmuran bersama.

 

 

iktisad

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul, manakala MASA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd. Amin.

 

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Wisma IDS dengan disaksikan oleh Datin Hasnah Samsudin, Ketua Pegawai Operasi IDS dan Marhaini Kamaruddin, Ketua Komunikasi Strategik dan Pengurusan MASA.

 

MoU IDS-MASA ini bakal menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan, penganjuran program, persidangan, perkongsian kepakaran dan jaringan komuniti bagi manfaat bersama.

 

IDS merupakan sebuah badan pemikir Kerajaan Negeri Sabah dalam menggali idea dan pendapat, serta menganalisis cadangan dasar awam berkenaan isu pembangunan sosioekonomi di Sabah.

 

MASA pula adalah badan pemikir bebas yang ditubuhkan pada tahun 2019, menggabungkan pakar-pakar dalam kerajaan dan akademik, untuk menjalankan penyelidikan yang relevan dengan pembangunan sosioekonomi negara, berdasarkan nilai-nilai kemakmuran bersama. - DagangNews.com