Ford tawar pakej servis percuma dua tahun kepada pelanggan baharu Ranger XL Double Cab, XLT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ford tawar pakej servis percuma dua tahun kepada pelanggan baharu Ranger XL Double Cab, XLT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia, menawarkan pakej servis percuma selama dua tahun kepada pelanggan baharu Ford Ranger XL Double Cab (varian automatik dan manual) dan XLT generasi baharu.

 

Kempen sempena Aidilfitri itu berlangsung dari 1 April hingga 31 Mei 2023 dan tersedia untuk jumlah unit terhad sahaja bagi kedua-dua model, serta untuk pembeli terawal.

 

Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, kempen promosi itu bertujuan untuk menawarkan lebih nilai tambahan kepada pelanggan Ranger XL Double Cab dan XLT generasi baharu.

 

"Kepada semua pelanggan setia Ford yang mana jaminan mereka telah luput, kami turut menyediakan tawaran promosi lepas jualan, yang sedang berlangsung hingga 31 Mei 2023, yang memberikan diskaun 10% untuk alat ganti terpilih.

 

"Kami juga berbangga untuk meraikan ulang tahun ke-15 SDAC sebagai pengedar tunggal Ford di Malaysia. Ford adalah syarikat keluarga, dan SDAC turut komited untuk memastikan pelanggan kami berasa seperti sebuah keluarga juga," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ranger XL Double Cab (AT dan MT) serta Ranger XLT generasi baharu dikuasakan oleh enjin Ford 2.0 liter Single Turbo diesel yang menghasilkan kuasa maksimum 170 PS dan tork maksimum 405 Nm.

 

Sebelum ini, hanya Ranger Raptor yang menawarkan pilihan mod pemanduan. Kini, kedua-dua model generasi baharu ini datang standard dengan empat mod pemanduan, Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.

 

 

ford

 

 

Ranger XLT generasi baharu dijual pada harga RM129,888 di Semenanjung dan RM135,388 untuk Sabah dan Sarawak.

 

Ranger XL Double Cab Manual pula dijual pada harga RM108,888 di Semenanjung dan RM114,888 untuk Sabah dan Sarawak. Sementara itu, varian automatiknya dijual pada harga RM113,888 di Semenanjung dan RM119,588 untuk Sabah dan Sarawak.

 

Semua pelanggan Ranger generasi baharu secara automatiknya akan menjadi sebahagian daripada Ford Inner Circle di Malaysia, iaitu sebuah komuniti yang menghimpunkan individu dengan minat yang sama, menyumbang kepada masyarakat atau beraktiviti bersama Ford Ranger Getaways dengan rakan dan keluarga. - DagangNews.com