SHAH ALAM 10 Mei - FamilyMart Malaysia telah menghentikan jualan minuman beralkohol di semua 360 cawangan sejak Mac lalu sebagai langkah awal syarikat mendapatkan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata FamilyMart menyasarkan untuk membuka 50 FamiCafe menjelang akhir 2023 dan menyasarkan 300 FamiCafé berstatus halal menjelang 2025.
Menurut beliau, FamilyMart merancang untuk menambah 20 cawangan tahun ini dan kini giat berkembang ke pantai timur Semenanjung Malaysia serta sedang mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sijil halal FamiCafé di FamilyMart Menara U, Shah Alam, hari ini.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Razi Hassan telah menyerahkan sijil halal untuk FamiCafe tersebut, menjadikannya kafe serbaneka pertama di Malaysia yang berstatus halal.
Beliau berkata pensijilan halal ini selari dengan usaha berterusan FamilyMart dalam memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya.
“Perjalanan untuk mendapatkan pensijilan halal di kedai kami adalah langkah ke hadapan dalam memberikan jaminan dan keyakinan lebih utuh kepada pelanggan untuk membeli-belah dan menjamu selera bersama kami,” tambahnya.
Lik Khai berkata jualan alkohol yang dihentikan hanya memberi kesan kecil kepada pendapatan kumpulan, memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk berbelanja tanpa kegusaran.

FamilyMart kini sedang menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan JAKIM dan prosesnya telah bermula di dua cawangan lain.
Konsep kafe kedai serbaneka ini menyajikan minuman dan makanan tersedia yang disiapkan di dalam kedai dengan 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi JAKIM, setakat 30 April 2023.
Selain itu, semua FamiCafé serba baharu akan mengadaptasi susun atur yang disediakan JAKIM, manakala stor sedia ada akan diubah suai untuk tujuan sama. -DagangNews.com








