KUALA LUMPUR 12 Mei - Ekonomi Malaysia berkembang secara kukuh 5.6% pada suku pertama 2023 (suku keempat 2022: 7.1%) didorong oleh permintaan domestik yang positif.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta.
Aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan manakalan pelancongan domestik terus mencatatkan pemulihan sekali gus meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan.
"Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada tahun ini.
“Risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif seimbang. Risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor domestik, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.
"Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu," katanya.
Sementara itu, bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan pada suku pertama menyusut kepada 3.6% didorong inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah.
Katanya, pengurangan inflasi teras itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.
"Meskipun tekanan kos terus menjadi reda, terutamanya harga komoditi global, inflasi teras kekal tinggi pada suku pertama berikutan keadaan permintaan yang terus kukuh tetapi tekanan harga terus meluas," katanya.
Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan harga bulanan kepada 56.0% pada suku pertama tahun ini.
Hal ini sebahagiannya mencerminkan pelarasan harga oleh syarikat-syarikat yang lazimnya dilakukan pada awal tahun dan serta kenaikan harga yang berterusan bagi beberapa item berkaitan makanan. - DagangNews.com








