DOSM: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 3.4% pada suku pertama 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DOSM: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 3.4% pada suku pertama 2023

KUALA LUMPUR 8 Mei - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) telah meningkat 3.4% pada suku tahun pertama 2023, mencatatkan 114.7 mata berbanding 110.9 pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan tersebut yang mengukur perubahan harga pengeluar bagi sektor perkhidmatan tempatan di Malaysia, hari ini.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku ini, khususnya dalam penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 8.3% berbanding 8% pada suku tahun keempat 2022, disumbangkan oleh peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (9.8%).

 

 

Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

 

Subsektor pengangkutan pula meningkat 6.5% berbanding 5.3% pada suku tahun keempat 2022 didorong sumbangan pengangkutan penumpang udara sebanyak 25.6%.

 

“Sementara itu, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi  serta pendidikan masing-masing merekodkan 1.1% kenaikan disebabkan oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain (1.9%) dan pendidikan penengah (1.9%),” kata Mohd Uzir.

 

 

ihprp

 

 

Beliau turut menjelaskan bahawa subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah profesional (0.5%) dan kesihatan (0.4%) namun, indeks bagi aktiviti hartanah serta maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

 

Perbandingan suku ke suku, katanya, menunjukkan IHPRP meningkat 0.3% berbanding 0.4% yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan ini disebabkan oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (1.3%); pendidikan (0.5%); pengangkutan (0.3%); kesihatan (0.2%) dan profesional (0.1%).

 

Bagaimanapun, indeks bagi kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan negatif 1.7% manakala indeks bagi aktiviti hartanah serta maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah,” katanya. -DagangNews.com