CTOS masih tawar prospek baik didorong teras perniagaan berdaya tahan – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS masih tawar prospek baik didorong teras perniagaan berdaya tahan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - CTOS Digital Berhad masih menawarkan prospek yang menggalakkan didorong oleh teras perniagaan yang kekal berdaya tahan.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), teras perniagaan CTOS kekal berdaya tahan, mencerminkan perniagaan yang kukuh dan penambahbaikan produk berterusan untuk mengekalkan bahagian pasaran dominan dan meningkatkan jualan produk.

 

Firma itu berkata, CTOS menyaksikan tarikan permintaan yang kukuh daripada peminjaman wang secara digital memandangkan kumpulan tersebut kini terlibat dengan dua bank digital untuk pembangunan penyelesaian suai tugas kredit hujung ke hujung.

 

“Ditambah dengan penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) baharu yang akan datang, kami percaya ini boleh menambat pertumbuhan volum transaksi laporan digital kerana peminjam wang digital dikehendaki melaksanakan proses penilaian kredit lebih tepat untuk peminjam,” katanya dalam nota hari ini.

 

Di samping itu, Creador baru-baru ini telah memindahkan 14.7% kepentingan dalam CTOS kepada dana baharu yang sepatutnya mengurangkan harga saham yang tidak terjual sejak penarikan moratorium.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, ini meninggalkan satu lagi perkembangan penting, pewartaan Perintah Cukai Pendapatan Baharu, yang secara rasmi akan membolehkan lanjutan status cukai perintis kumpulan itu.

 

“CTOS telah mengumpul lebihan cukai berbayar sebanyak RM18 juta pada 1QFY23 sejak 2QFY22, yang akan ditulis semula selepas keputusan akhir dan membolehkannya mengiktiraf kadar cukai efektif jauh lebih rendah sebanyak 5 hingga 6% sehingga FY26,” kata firma itu sambil menambah ramalan pendapatan tidak berubah telah mengambil kira perkara tersebut.

 

Sementara itu, kelemahan syarikat bersekutu kumpulan tersesebut telah menyebabkan laporan kewangan 1QFY23 merosot namun pengurusan menyifatkan perkara tersebut bermusim.

 

Mengulas lanjut, firma itu berkata keuntungan sekutu kumpulan tersebut menjunam 74% suku ke suku (QoQ) pada 1QFY23 sebahagiannya bermusim, di mana RAM Holdings berkemungkinan mengalami kerugia pada suku tersebut.

 

Firma itu berkata RAM telah merekodkan trend yang sama pada Januari hingga Mei 2021 dan 2022, di mana ia menjana kerugian masing-masing sebanyak RM3 juta dan RM1.5 juta, sebelum mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak RM12 hingga 14juta.

 

“Aktiviti penarafan kredit cenderung meningkat pada separuh kedua dan oleh itu, kami mengekalkan sasaran keuntungan bersekutu FY23 kami sebanyak RM32 juta berbanding RM2.2 juta pada 1QFY23,” katanya sambil menambah BOL Thailand bersekutunya yang dimiliki 25% menunjukkan prestasi yang agak baik.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.97 sesaham. -DagangNews.com