CCC gesa MAVCOM laksana segera Kod Perlindungan Pengguna untuk tambah baik hak penumpang penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CCC gesa MAVCOM laksana segera Kod Perlindungan Pengguna untuk tambah baik hak penumpang penerbangan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) segera melaksanakan pindaan Kod Perlindungan Pengguna Malaysia (MACPC) yang sepatutnya dilaksanakan pada suku pertama 2023 untuk menambah baik hak pengguna penerbangan. 

 

Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, isu melibatkan pengguna penerbangan seperti penangguhan dan pembatalan penerbangan, kaedah dan tempoh pembayaran balik tertunggak, hak-hak penumpang dan penebusan baucar semakin serius sejak penularan COVID-19. 

 

"Walaupun pandemik telah berakhir tetapi permasalahan ini masih berulang dan memerlukan tindakan segera MAVCOM untuk menambah baik hak pengguna penerbangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tarmizi berkata, pada 2022, MAVCOM telah menerima sebanyak 8,789 kes aduan daripada pelanggan yang mana tiga aduan tertinggi melibatkan bayaran balik, kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi serta pembatalan penerbangan. 

 

Katanya, ia merupakan kes aduan tertinggi sejak pertama kali diperkenalkan pada 2016. 

 

Beliau berkata, dengan kelewatan pelaksanaan pindaan MACPC mungkin akan menyebabkan jumlah kes aduan pelanggan dan permasalahan bagi tahun ini meningkat disebabkan perkembangan penumpang antarabangsa dan domestik serta peningkatan operasi pesawat termasuk penyambungan semula pelbagai laluan penerbangan selepas pandemik.  

 

"Pengguna penerbangan di Malaysia telah lama melalui permasalahan ini sejak bertahun-tahun dan pembaharuan mesti dilakukan segera. 

 

 

ccc
                                          Tarmizi Anuwar

 

 

"Adalah penting untuk memastikan pindaan tersebut mampu mengawal selia syarikat penerbangan agar mematuhi piawaian kualiti servis dan keselamatan untuk melindungi pengguna. 

 

"Dengan peningkatan operasi pesawat antarabangsa dan domestik di Malaysia, pindaan MACPC ini tidak boleh dilewatkan kerana mungkin lebih banyak isu teknikal yang akan berlaku," katanya.

 

Beliau berkata, apabila sesuatu penerbangan dibatalkan, pengguna harus mempunyai pilihan untuk menerima sama ada bayaran balik secara penuh atau baucar perjalanan bagi tempahan semula penerbangan baru pada masa hadapan. 

 

Manakala baucer perjalanan tersebut tidak wajar terhad pada sesuatu perjalanan atau destinasi tetapi perlu berdasarkan nilai perjalanan atau destinasi yang ingin dituju, katanya.

 

"Hal ini akan memberikan pengguna pilihan yang lebih baik untuk membuat keputusan berbanding syarikat penerbangan yang membuat pilihan bagi pihak pengguna," katanya.

 

Menurutnya, mengenai tempoh bayaran balik tiket yang mempunyai nilai bayaran balik akibat pengguna tidak dapat menaiki penerbangan disebabkan penangguhan atau pembatalan penerbangan daripada pihak syarikat penerbangan perlulah dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari. 

 

Katanya, terdapat banyak aduan membabitkan kelewatan daripada pihak syarikat penerbangan dan kesukaran pengguna mendapatkan semula bayaran balik walaupun kesilapan itu bukan daripada pihak mereka. 

 

BACA JUGA: MAHB tekad tambah baik infrastruktur, perkhidmatan rangkaian lapangan terbang

 

"Ini adalah tempoh yang wajar bagi memastikan syarikat penerbangan bertanggungjawab menyelesaikan tuntutan bayaran balik kepada pengguna sekiranya terdapat pembatalan penerbangan," katanya. - DagangNews.com