Bank Dunia iktiraf pakej rangsangan ekonomi Malaysia sebagai 'luar biasa' | DagangNews Skip to main content

Bank Dunia iktiraf pakej rangsangan ekonomi Malaysia sebagai 'luar biasa'

malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai -  Bank Dunia mengiktiraf pakej rangsangan ekonomi Malaysia sesuatu yang luar biasa berbanding negara lain, menurut laporan dikeluarkannya,‘ Global Economic Prospects June 2020’.

Selain Malaysia, laporan sama turut mengiktiraf negara jiran, Thailand yang memfokuskan kepada kesejahteraan dan kesihatan awam, penyediaan penjagaan, jaminan pinjaman dan insentif perniagaan.

"Malaysia dan Thailand kedua-duanya telah melaksanakan polisi pakej rangsangan yang luar biasa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing dianggarkan 17% dan 13%," kata laporan itu. 

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan positif itu turut disokong oleh aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang rancak dan beransur pulih. 

“Salah satu bukti pemulihan ekonomi ialah laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi jualan perdagangan borong dan runcit pada Mei 2020 mencatatkan RM84.4 bilion.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak RM17.5 bilion atau 26.3% berbanding April 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Jelas beliau, kerajaan juga telah menjangkakan kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% bagi Mei tahun ini.

Bagaimanapun, Zafrul mengingatkan bahawa langkah-langkah pembukaan ekonomi dan pengekalan pekerjaan yang memberi impak positif adalah lebih penting.

Sebagai langkah pemulihan ekonomi negara akibat COVID-19, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Setakat 20 Julai, pemberian tunai seperti BPN, bantuan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan dan lain-lain telah mencapai pelaksanaan pada kadar 91%.

“Tetapi, apa yang lebih penting, kita belum keluar daripada penularan COVID-19 dan perlu bersedia sekiranya keadaan ini akan bertambah buruk.

“Orang ramai sekali lagi diingatkan bahawa kes aktif dan kes baharu wabak pandemik walaupun rendah, tetapi masih wujud di dalam negara,” tambah beliau. - DagangNews.com