Gagal bentang pelan regularisasi, Sentoria bakal dinyahsenarai pada 16 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagal bentang pelan regularisasi, Sentoria bakal dinyahsenarai pada 16 Jun 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun – Sentoria Group Bhd  kini berada di ambang untuk dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada 16 Jun 2026 selepas gagal mengemukakan pelan regularisasi  sebelum tarikh akhir ditetapkan iaitu 3 Jun 2026.

 

Menurut Bursa Malaysia, kegagalan tersebut menyebabkan syarikat pembangunan hartanah itu tidak lagi memenuhi syarat pemulihan di bawah status PN17, iaitu klasifikasi untuk syarikat yang mengalami masalah kewangan serius.

 

Bursa Malaysia menjelaskan sebarang rayuan terhadap keputusan nyahsenarai perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 11 Jun 2026 dan sekiranya rayuan dibuat dalam tempoh itu, proses nyahsenarai boleh ditangguhkan sementara menunggu keputusan Bursa Securities.

 

Namun, rayuan yang dikemukakan selepas tempoh tersebut tidak akan dipertimbangkan, sekali gus membuka laluan kepada proses nyahsenarai diteruskan seperti dijadualkan.

 

Dalam masa sama, saham Sentoria kekal digantung sejak 21 April 2026 selepas syarikat itu diperintahkan untuk dibubarkan oleh Mahkamah.

 

Penggantungan perdagangan itu menyebabkan saham Sentoria tidak lagi boleh diniagakan di pasaran terbuka sejak tarikh berkenaan, menjadikan pelabur tidak dapat melakukan urus niaga jual beli seperti biasa.

 

Ketika kali terakhir diniagakan pada 20 April 2026, saham Sentoria hanya berada pada paras setengah sen, sekali gus menjadikan modal pasaran syarikat sekitar RM3.1 juta berdasarkan harga tersebut.

 

Pada 8 April 2026, seorang pegawai penerima rasmi telah dilantik sebagai liquidator bagi menguruskan proses pembubaran aset syarikat di bawah perintah mahkamah.

 

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia bertarikh 3 Jun 2026, Sentoria memaklumkan pihaknya masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung pelantikan liquidator tersebut.

 

Syarikat itu turut mengakui mereka tidak mempunyai pelan regularisasi serta tidak mempunyai kapasiti dalaman untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan nyahsenarai oleh Bursa Malaysia.

 

Situasi kewangan Sentoria terus merosot apabila syarikat mencatat kerugian bersih sebanyak RM4.12 juta bagi suku terkini berakhir 31 Mac 2026.

 

Bagi tempoh lebih panjang, iaitu 15 bulan berakhir 31 Mac 2026 (15MFY2026), kerugian bersih kumpulan meningkat kepada RM33.47 juta, mencerminkan tekanan kewangan berterusan yang dihadapi syarikat.

 

Sentoria sebelum ini telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada Disember 2024 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh kepada 33 peratus daripada modal berbayar dan terbitan, menjadikannya sebagai syarikat yang memiliki status kewangan bermasalah di bawah peraturan Bursa Malaysia. - DagangNews.com