Citaglobal dapat kelulusan pemegang saham laksana penempatan persendirian dan kerjasama pembangunan dengan Varia Bhd | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal dapat kelulusan pemegang saham laksana penempatan persendirian dan kerjasama pembangunan dengan Varia Bhd

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 JunCitaglobal Berhad memperoleh kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam bagi dua cadangan korporat utama, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan fasa seterusnya strategi pengembangan Kumpulan.

 

Cadangan pertama melibatkan penempatan persendirian sebanyak 46,768,000 saham biasa baharu kepada Berjaya Securities Sdn. Bhd. pada harga RM0.90 sesaham, yang dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM42.1 juta.

 

Hasil penempatan itu akan digunakan bagi menyokong keperluan pembiayaan Kumpulan termasuk pembayaran tunai berkaitan pemerolehan tanah di Gebeng yang telah dimuktamadkan, selain pelaburan dan pengembangan dalam perniagaan sedia ada merangkumi sektor tenaga boleh diperbaharui dan bioenergi, serta modal kerja dan perbelanjaan berkaitan pelaksanaan korporat.

 

Pada masa sama, pemegang saham turut meluluskan cadangan usaha sama antara Citaglobal Property Development Sdn. Bhd., anak syarikat tidak langsung milik penuh Kumpulan, dan Varia Crest Sdn. Bhd., anak syarikat tidak langsung milik penuh Varia Berhad.

 

Usaha sama itu melibatkan pembangunan bercampur di atas tanah pegangan pajakan seluas 1.58 ekar di Jalan Tun Razak yang akan dikenali sebagai Citaglobal Tower Development.

 

Projek berkenaan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM657 juta dan akan merangkumi menara pejabat Gred A, apartmen servis, lot komersial serta kemudahan parkir podium bertingkat.

 

Di bawah struktur usaha sama tersebut, Varia Crest akan bertanggungjawab terhadap perancangan, pembangunan, pembinaan, pemasaran serta pembiayaan projek berkenaan.

 

Sebagai pertimbangan kepada sumbangan tanah, Citaglobal Property Development berhak menerima pakej bernilai kira-kira RM118 juta yang merangkumi bayaran tunai, pembayaran balik kepada BIMB mengikut jadual pinjaman pemerolehan tanah, hak milik ruang pejabat serta pertimbangan dalam bentuk bukan tunai, selain potensi peningkatan keuntungan.

 

Cadangan usaha sama itu dijangka menyumbang keuntungan kira-kira RM26.7 juta kepada Kumpulan, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kelulusan pemegang saham memberi mandat jelas kepada pengurusan untuk melaksanakan pelan seterusnya.

 

“Penempatan saham ini memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih kukuh, manakala usaha sama Citaglobal Tower membolehkan kami merealisasikan nilai daripada pegangan tanah strategik di Kuala Lumpur secara lebih berdisiplin,” katanya.

 

Pembangunan itu masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pihak berkuasa berkaitan, dengan Kumpulan akan memberikan makluman lanjut apabila pencapaian utama projek dicapai.

 

Selepas penempatan persendirian disempurnakan, Citaglobal dijangka mempunyai kedudukan modal yang lebih kukuh bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pertumbuhan seterusnya. - DagangNews.com