KUALA LUMPUR 19 April - Keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) Axis REIT hanya merangkumi 21% haripada jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB) dan konsensus.
Kekurangan tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh penarikan semula kadar penghunian pada aset terpilih, kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pendapatan Axis REIT lebih kukuh dalam tahun kewangan 2024 (FY24) disokong terutamanya oleh sumbangan aset baharu iaitu pasca pembangunan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 dan Pusat Pengedaran Mega Axis 2.
Selain itu, ia juga mempunyai pengembalian sewa dan kadar penghunian yang stabil merentas kebanyakan aset.
Pada 1QFY23, Axis mempunyai satu pengambilalihan aset yang masih diproses di Kulim, Kedah bernilai RM92 juta di samping sedang berunding dengan vendor lain untuk aset berpotensi bernilai RM140 juta, kata firma itu sambil menambah bahawa ramalan pendapatan tidak termasuk Kulim dan pengambilalihan lain.
“Kami melaraskan FY23/24/25 masing-masing sebanyak -6.6%/-2.8%/+0.3% dengan mengambil kira peningkatan besar di Fasiliti Axis 2 @ Bkt Raja yang telah siap pada 1QFY23 dan penghunian akan bermula pada pertengahan Mei 2023 pada kadar sewa lebih tinggi (20% melebihi kadar sewa terakhir) dan penyewa gantian di Pusat Pengedaran Axis Shah Alam 3 hanya akan datang pada Jun 2023,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai 1QFY23, firma itu berkata penghunian portfolio yang lebih rendah menjejas keuntungan bersih suku ini yang menyusut 8.6% tahun ke tahun (YoY) dan 9.2% suku ke suku (QoQ) kepada RM36 juta.
Menurut firma tersebut, kadar penghunian pada 1QFY23 lebih rendah sebanyak 92.7% berbanding 96% bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan dua hartanah, Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 dan Fasiliti Axis 2 @ Bukit Raja, sedang menjalani pembangunan dan peningkatan besar dan satu daripada penyewaan di Pusat Pengedaran Axis Shah Alam 3 tamat tempoh pada Disember 2022 dan masih dalam proses mendapatkan penyewa baharu.
Di samping itu, Axis REIT turut terkesan oleh perbelanjaan bukan hartanah yang melonjak sebanyak 41.5% disebabkan peruntukan hutang ragu sebanyak RM3.5 juta untuk Yongnam Engineering Sdn Bhd, pemajak Axis Steel Centre @ SiLC di Johor, manakala kos pembiayaan Islam telah meningkat 36% untuk membiayai pemerolehan aset dan pada kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi.
“Ini sebahagiannya telah diimbangi oleh sumbangan aset baharu seperti Gudang Logistik Pasir Gudang 2 dan Kemudahan Indahpura 4, serta beberapa pengembalian sewa yang positif,” jelasnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.16 sesaham. -DagangNews.com








