KUALA LUMPUR 19 April - airasia SuperApp menyeru Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan lain untuk bekerjasama secara langsung dengan aplikasi tersebut untuk mencapai kecekapan dan prestasi lebih baik, sekali gus menawarkan nilai terbaik kepada rakyat di negara ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif airasia SuperApp, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil berkata, tiket penerbangan Malaysia Airlines yang dipaparkan di airasia SuperApp diambil daripada inventori yang dibekalkan oleh pengagregat rakan kongsi pihaknya yang sedia ada.
"Maklumat tambang penerbangan dan kelas tambang (Ekonomi atau Perniagaan) dibekalkan terus oleh pengagregat rakan kongsi kami tanpa sebarang campur tangan daripada airasia SuperApp. Maklumat tambang yang sama turut dipaparkan dalam platform ejen pelancongan dalam talian (OTA) yang lain.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil oleh Malaysia Airlines terhadap kami adalah berdasarkan dakwaan potensi pelanggaran tanda dagangan dan hilang, dan tidak berkaitan dengan pembekalan inventori.," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Hafidz, pihaknya akan terus menjual penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan, termasuk yang tidak mempunyai hubungan langsung melalui pengagregat dan penyatuan rakan kongsi yang ditubuhkan.
Katanya, sebagai platform OTA bertauliah di pasaran, inventori penerbangan airasia SuperApp datang daripada pengagregat rakan kongsi yang mantap serta rakan kongsi syarikat penerbangan langsung, amalan industri OTA biasa.
Jelas beliau, platform OTA airasia Super App memegang Lesen Ejen Pelancongan, dan juga merupakan ejen bertauliah IATA yang diberi kuasa untuk menjual penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan di aplikasi dan laman webnya.

"Penerbangan syarikat penerbangan lain menyumbang peratusan kecil hasil platform kami dan sehingga kini, kami telah menjual 1.72 juta tempat duduk daripada lebih 700 syarikat penerbangan yang tersedia di saluran kami.
"Kami mempunyai jenama syarikat penerbangan yang terkenal di dunia seperti Etihad Airways, Turkish Airlines, All Nippon Airways, Air New Zealand, Citilink, KLM, Air France, Bangkok Airways dan banyak lagi sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan langsung kami yang menawarkan penerbangan mereka di platform OTA di airasia SuperApp.
"Pangkalan data kami lebih 72 juta, merupakan salah satu platform terbesar, membolehkan rakan kongsi syarikat penerbangan lain menjangkau khalayak yang lebih luas," katanya.
Terdahulu, Malaysian Aviation Group (MAG) menerusi sidang media taklimat mengenai Prestasi Tahunan MAG 2022 semalam, mengesahkan injunksi telah difailkan untuk menghentikan AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, injunksi itu telah difailkan berikutan ia tidak dapat mencapai persetujuan komersial sebelum ini dan AirAsia terus menjual inventori kumpulan itu.
Katanya, injunksi telah difailkan pada 2022 dan perbicaraan dijadualkan pada Ogos tahun ini.
Sementara itu, Batik Air Malaysia menerusi kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah memberikan sebarang persetujuan kepada airasia SuperApp untuk menjual dan memasukkan semua perkhidmatan syarikat penerbangan dalam Kumpulan Lion Air dan Super Jet Air dalam aplikasi terbabit.
Batik Air menggesa airasia SuperApp segera mengeluarkan atau memadam semua produk dan perkhidmatan tanpa kebenaran Kumpulan Lion Air dan Super Air Jet yang dijual dalam aplikasi itu. - DagangNews.com








