97% rakyat Malaysia gesa pasaran gelap rokok ditangani segera | DagangNews Skip to main content

97% rakyat Malaysia gesa pasaran gelap rokok ditangani segera

kempen Hentikan Pasaran Gelap

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 4 Ogos - British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) hari ini mengumumkan hasil kaji selidik yang dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen Hentikan Pasaran Gelap (Stop The Black Market).

Berikut merupakan hasil dapatan kaji selidik berkenaan;

  • Majoriti besar sebanyak 88% rakyat Malaysia percaya bahawa pasaran gelap rokok menghalang pemulihan ekonomi COVID-19
  • Tiga faktor utama yang menyebabkan pasaran gelap rokok berleluasa ialah rasuah (38%), cukai tinggi (27%) dan agensi penguatkuasaan undang-undang memiliki sumber terhad untuk menangani masalah tersebut (19%)
  • Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia iaitu 97% rakyat mahu kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera terhadap pasaran gelap rokok, yang mengakibatkan berlaku ketirisan lebih RM5 bilion dari segi hasil cukai setiap tahun
  • 35% rakyat Malaysia percaya bahawa pengurangan perbezaan harga antara produk rokok sah dan rokok seludup dan 29% lagi bersetuju kerjasama yang lebih menyeluruh antara agensi penguatkuasaan undang-undang adalah penting di dalam usaha membanteras pasaran rokok gelap


BAT Malaysia adalah syarikat tembakau terulung di Malaysia berasaskan produk tembakau bermutu tinggi yang dihasilkan seperti jenama Dunhill, Kent, Peter Stuyvesant, Pall Mall dan Rothmans.

Sementara itu, Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, pihaknya mengalu-alukan respon bersemangat rakyat Malaysia terhadap kempen Hentikan Pasaran Gelap yang dijalankan.
 

Jonathan Reed
Jonathan Reed

 

"Sejak ia dimulakan pada 6 Julai 2020, laman web kempen itu telah meraih lebih daripada 30,000 pengunjung unik. Daripada kaji selidik dan maklum balas lain yang kami terima, jelas rakyat Malaysia sangat bimbang terhadap masalah pasaran gelap rokok dan bersedia menyokong tindakan segera kerajaan untuk membanteras sindiket jenayah yang beroperasi di belakangnya. 

"Sokongan ini berpunca daripada keinginan untuk melihat pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Susulan kajian itu juga, BAT Malaysia akan menyiarkan kepada umum hasil kajian dan melancarkan kaji selidik kedua dalam laman web kempen https://stoptheblackmarket.com.my/ untuk rakyat Malaysia melahirkan pendapat mengenai kaedah yang boleh dilakukan bagi menangani isu-isu secara pantas dan menyeluruh," jelas beliau.

Kaji selidik yang dijalankan di seluruh negara dibawah kelolaan BAT Malaysia pada Julai 2020 itu terdiri daripada kaji selidik secara dalam talian yang melibatkan seramai 2,000 orang dewasa Malaysia. - DagangNews.com