KUALA LUMPUR 8 Mei - Sejumlah 85% rakyat Malaysia beranggapan tahap pemahaman mereka tentang kolesterol adalah sederhana dan baik namun tinjauan mendapati terdapat beberapa kekeliruan sentimen terhadap penyakit tersebut.
Tinjauan persepsi State of Health of the Nation telah dijalankan oleh The Green Zebras bagi pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan syarikat farmaseutikal, Novartis Malaysia.
Dalam kenyataan Novartis Malaysia, tinjauan tersebut memberi gambaran masyarakat mempunyai tanggapan salah terhadap kolesterol.
Hasil tinjauan tersebut mendapati sejumlah 92% rakyat Malaysia berpendapat kolesterol boleh dikawal melalui perubahan gaya hidup manakala hanya 40% percaya kolesterol hanya boleh dikawal dengan ubat.
Sementara itu, 75% berpendapat bahawa seseorang akan menunjukkan simptom jika ia mempunyai kolesterol tinggi dan 56% daripada responden berumur 40 hingga 60 tahun menganggap ujian tahap kolesterol diperlukan sekurang-kurangnya setiap lima tahun atau lebih kerap.
Selain itu, hampir separuh daripada mereka iaitu 49% tidak bersetuju bahawa seseorang dengan berat badan yang sihat boleh mempunyai tahap kolesterol tinggi.
Bagaimanpun, 89% responden sedar kolesterol tinggi tidak terkawal boleh membawa kepada penyakit lebih serius seperti kardiovaskular, strok, dan masalah jantung yang lain manakala 84% daripada mereka menginginkan cara lebih mudah untuk menangani kolesterol tinggi.
Bagi membetulkan kekeliruan sentimen terhadap kolesterol, Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala yang khusus dan ujian darah adalah satu-satunya cara untuk mengesannya.

“Saringan kolesterol dicadangkan untuk orang dewasa antara umur 45 hingga 65 tahun adalah setiap tahun sekali atau dua tahun sekali manakala mereka yang berumur 65 tahun ke atas boleh melakukan saringan kolesterol setiap tahun,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muruga kelewatan mendapatkan rawatan yang tepat pada masanya menyebabkan pesakit berkemungkinan besar mengalami aterosklerosis, di mana saluran arteri menjadi sempit dan keras.
Sementara itu, Presiden Negara Novartis Malaysia, Mohamed ElWakil berkata ramai tidak menyedari kolesterol adalah salah satu pembunuh senyap, bersama-sama dengan tekanan darah tinggi dan diabetes, di mana penghidap seringkali tidak menunjukan sebarang simptom khusus.
“Namun, kolesterol boleh ditangani jika ia dikesan awal dengan mengikuti pelan rawatan disyorkan doktor dan pengubahan gaya hidup boleh membantu mencegah masalah berkaitan jantung yang kronik,” ujar beliau.
Tinjauan State of the Health of the Nation telah dijalankan dalam talian pada Disember 2022 di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, mewakili keseluruhan populasi secara nasional mengikut lokasi, jantina dan bangsa yang melibatkan seramai 500 responden dalam kalangan rakyat Malaysia. -DagangNews.com








