2.2b umat Islam dunia peluang perkasa PKS Malaysia | DagangNews Skip to main content

2.2b umat Islam dunia peluang perkasa PKS Malaysia

 Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Menerusi kira-kira 2.2 bilion umat Islam dunia, syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai peluang besar bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. 

Ini terutamanya melibatkan industri makanan dan minuman (F&B) serta produk pertanian negara dalam kalangan nelayan dan petani tempatan.

Bagaimanapun, golongan berkenaan perlu melakukan transformasi digital bagi menembusi pasaran luar negara.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Hussin berkata, penglibatan golongan petani dan nelayan tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi transformasi digital membantu menaik taraf kehidupan golongan berkenaan.

“Seperti mana (pemasaran) produk agrikultur dalam talian, kalau dapat bawa petani dan nelayan (untuk) pasarkan barangan online (dalam talian), ini akan naikkan taraf kehidupan masing-masing dari segi pendapatan, dapat mengatasi isu jurang pendapatan dan kemasukan digital. 

“MDEC sudah lama menwar-warkan kepentingan digitalisasi yang kita tahu memberi impak cukup besar, sekiranya tidak diadaptasi, negara akan ketinggalan,” kata beliau ketika ditemubual oleh Selamat Pagi Malaysia (SPM), sempena Sidang Kemuncak Digital PKS (SME Digital Summit) yang berlangsung bermula hari ini hingga 13 Ogos.

 

MDEC
(DARI KIRI) Chow Sang Hoe, Rais Hussin dan Shakib Ahmad Shakir ketika ditemubual oleh Selamat Pagi Malaysia (SPM), sempena Sidang Kemuncak Digital PKS (SME Digital Summit) yang berlangsung bermula hari ini hingga 13 Ogos.

 

Turut serta, Ketua Perunding EY ASEAN ,Chow Sang Hoe dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir.

SME Digital Summit dijangka mencecah 100,000 penglibatan syarikat PKS sepanjang tiga hari program berlangsung di platform webinar dan media sosial. 

PKS yang merupakan penjana ekonomi utama negara menyumbang sebanyak 20% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan 66% tawaran peluang pekerjaan.

Sementara itu, Shakib berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat yang dilihat mampu memperkasa industri kreatif negara. 

“Sebagai contoh, mungkin ramai tidak tahu bahawa kartun Upin Ipin telah menembusi negara Timur Tengah dalam bahasa Arab. Ia mungkin menerima sambutan kerana kepelbagaian bahasa dan budaya. 

“Industri ini merupakan sebahagian daripada PKS dan ketika ini, industri berkenaan menunjukkan positif, tetapi boleh ditambah baik. Disebabkan itu, pentingnya untuk majukan ekonomi digital bermula di peringkat sekolah,” jelas beliau. - DagangNews.com