Viral Tak Bina Negara: Politik Malaysia di Era View dan Gimik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Viral Tak Bina Negara: Politik Malaysia di Era View dan Gimik

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Malaysia tidak pernah kekurangan ahli politik. Setiap kali pilihan raya tiba, negara ini tiba-tiba dipenuhi “penyelamat rakyat”.

 

Wajah prihatin muncul di simpang jalan. Slogan diperbaharui. Klip disunting supaya kelihatan lebih manusiawi. Podcast menjadi pentas baharu untuk kelihatan pintar tanpa perlu menjawab soalan yang benar-benar sukar.

 

Masalahnya bukan kurang orang yang mahu berkuasa. Masalahnya terlalu sedikit yang jelas mahu berbuat sesuatu dengan kuasa itu.

 

Angka Cantik, Hidup Masih Sempit

Di atas kertas, Malaysia sedang mencatat prestasi yang meyakinkan. Ekonomi berkembang 5.2% pada 2025. Suku pertama 2026 pula mencatat pertumbuhan 5.4%. Pelaburan diluluskan mencapai RM426.7 bilion pada 2025, rekod tertinggi dalam sejarah negara.

 

Angka ini patut memberi keyakinan. Tetapi rakyat tidak membeli barang dengan kadar pertumbuhan KDNK. Mereka membeli barang dengan baki akaun sebelum gaji masuk.

 

Mereka tidak membayar sewa rumah dengan tajuk sidang media pelaburan. Mereka membayarnya dengan gaji yang sering bergerak lebih perlahan daripada tekanan hidup.

 

Inilah jurang sebenar ekonomi Malaysia hari ini. Negara kelihatan semakin moden, tetapi ramai rakyat masih hidup dalam matematik lama: cukup makan, cukup minyak, cukup bayar hutang, dan berharap tiada kecemasan sebelum hujung bulan.

 

Pelaburan yang besar tidak bermakna banyak jika ia tidak diterjemahkan kepada pekerjaan yang menawarkan mobiliti sosial. Pertumbuhan yang tinggi juga tidak cukup jika produktiviti meningkat lebih pantas daripada pendapatan pekerja.

 

Atas sebab itu ukuran kejayaan ekonomi tidak boleh berhenti pada jumlah pelaburan, pusat data, kilang EV atau pengumuman projek bernilai bilion ringgit. Ukuran sebenar ialah sama ada rakyat mempunyai lebih banyak ruang untuk menyimpan, membesarkan keluarga dan merancang masa depan dengan lebih yakin.

 

Negara Dalam Talian, Politik Masih Luar Talian

Malaysia hampir sepenuhnya digital. DataReportal melaporkan negara mempunyai 35.4 juta pengguna internet pada akhir 2025, bersamaan 98% kadar penembusan internet. Identiti media sosial pula mencecah 30.7 juta, kira-kira 85% daripada jumlah penduduk.

 

Maknanya, pilihan raya tidak lagi bermula di pentas ceramah. Ia bermula di skrin telefon, di kumpulan WhatsApp, di TikTok, di potongan podcast, di video pendek yang lebih mudah mencipta kemarahan daripada kefahaman.

 

AI sudah masuk ke ruang perang politik. Ucapan boleh disiapkan dalam beberapa saat. Poster boleh dihasilkan tanpa pereka. Sentimen pengundi boleh dianalisis sebelum ceramah malam bermula.

 

Di sinilah bahayanya. Politik digital bukan berbahaya kerana ia lemah. Ia berbahaya kerana ia terlalu cekap.

 

Ia cekap menyusun imej, membaca emosi, menguji mesej dan menukar keresahan rakyat menjadi kandungan yang mudah dikongsi. Tetapi kecekapan yang sama belum tentu diterjemahkan kepada keupayaan mentadbir.

 

Inilah paradoks baharu politik Malaysia. Kempen semakin pintar, tetapi pentadbiran belum tentu semakin bijaksana.

 

Untuk berlaku adil, usaha pendigitalan pentadbiran memang sedang berjalan dan kemajuan itu wajar diakui. Namun teknologi tidak boleh dinilai melalui sistem yang dibina semata-mata. Ia mesti dinilai melalui masalah yang berjaya diselesaikan dan kehidupan rakyat yang benar-benar dipermudah.

 

Takziah Bukan Dasar Awam

Tiada contoh yang lebih jelas daripada keselamatan jalan raya.

 

Pemandu mabuk yang meragut nyawa orang tidak bersalah. Lumba haram yang menjadikan jalan awam seperti litar lumba peribadi. Lori dan bas yang dipandu tanpa disiplin. Jalan berlubang yang hanya dibaiki selepas tular. Penguatkuasaan yang sering kelihatan lebih pantas menjawab tragedi daripada mencegahnya.

 

Menurut Kementerian Pengangkutan, Malaysia kehilangan purata 18 nyawa sehari akibat kemalangan jalan raya. Berdasarkan nilai kehidupan statistik MIROS, setiap nyawa yang terkorban membawa kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta kepada negara. Pada 2025 sahaja, 6,537 nyawa terkorban di jalan raya, bersamaan hampir seorang maut setiap dua jam.

 

Itu bukan sekadar statistik. Itu harga yang dibayar apabila amaran tidak diterjemahkan menjadi tindakan.

 

Lebih membimbangkan, setiap tragedi sering menghasilkan kitaran yang sama: lawatan, takziah, kenyataan media, arahan siasatan, janji tindakan tegas. Kemudian keadaan kembali normal.

 

Normal, dalam kamus pentadbiran kita, kadang-kadang bermaksud menunggu tragedi seterusnya supaya ayat yang sama boleh digunakan semula.

 

View Bukan Mandat

Pilihan raya akan datang tidak sepatutnya menjadi pertandingan siapa paling viral.

 

Viral boleh dibeli. Algoritma boleh dimanipulasi. View boleh dijana. Podcast boleh dirancang. AI pula boleh menulis manifesto, menghasilkan poster dan menjadikan calon kelihatan lebih cerdik, dekat dan tersusun.

 

Tetapi jalan yang rosak tidak peduli berapa juta tontonan yang dimiliki seorang ahli politik. Kos hidup tidak turun kerana sesuatu video menjadi trending. Banjir tidak surut kerana sesuatu tanda pagar berjaya mendominasi media sosial.

 

Lebih penting, AI tidak boleh mencipta watak. Ia tidak boleh menggantikan rekod turun padang, membersihkan kegagalan dasar atau membuat pengundi percaya kepada wajah yang hanya muncul ketika kuasa mahu dipertahankan.

 

Soalan sebenar mungkin kurang menarik untuk dijadikan klip pendek, tetapi jauh lebih penting: siapa sebenarnya mempunyai idea yang boleh berfungsi?

 

Ini kerana pertarungan sebenar bukan antara politik digital dengan politik lama. Pertarungan sebenar ialah antara politik yang mempunyai isi dengan politik yang hanya mempunyai bunyi.

 

Negara Tidak Dibina oleh Persembahan

Malaysia sudah terlalu mahir menghasilkan ahli politik yang pandai berkempen. Yang belum cukup ialah pemimpin yang berani berfikir selepas kempen tamat.

 

Ini kerana apabila politik kehilangan idea, yang tinggal hanyalah persembahan.

 

Sebuah negara akhirnya tidak dibina oleh jumlah view, like atau share yang dikumpulkan semasa kempen. Ia dibina oleh keputusan yang dibuat selepas lampu pentas dipadamkan. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga merupakan penganalisis yang sering memberikan ulasan pakar mengenai isu korporat dan ekonomi, seperti prestasi firma perniagaan.