PUTRAJAYA 8 Mei - Seramai 1,500 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di Bizmilla Event Hall, Shaftsbury Putrajaya hari ini.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, majlis bertemakan 'Manisnya Syawal' itu merupakan pengantara dalam menjalinkan hubungan lebih erat antara warga kerja dengan rakan-rakan strategik, kementerian dan agensi.
Katanya, majlis tersebut turut menghimpunkan usahawan-usahawan seperti francaisor dan francaisi dan membuka peluang untuk mengenali para usahawan tersebut dengan lebih dekat.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tetamu yang sudi meluangkan masa hadir ke majlis ini dan warga kerja yang telah memastikan majlis berjalan lancar," katanya.
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick; Timbalannya, Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.
Selain pelbagai jenis juadah Hari Raya, para tetamu turut disajikan dengan produk makanan dan minuman daripada jenama francais serta pra-francais di bawah Pernas seperti Gloria Jean's Coffees dan 1901.
Selain itu, para tetamu juga berpeluang merasai keenakan makanan dan minuman daripada usahawan program Transformasi Perniagaan (BIT) Pernas, antaranya MD Putu Bambu World, Mr Tako, Old Time Sengkuang, Apam Balik Kuhot dan Pandan Cendol.


Para tetamu yang hadir berpeluang melihat persembahan khas daripada penyanyi dan juga pemilik Bizmilla, Mila Jirin sebagai halwa telinga sepanjang majlis tersebut berlangsung. - DagangNews.com








