Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - Shake Shack Inc. dan pemegang lesen SPC Group terus mengembangkan perkongsian dengan merancang untuk membuka 10 buah cawangan Shake Shack di Malaysia menjelang 2031.
Ketua Pegawai Pelesenan Globalnya, Michael Kark berkata, pembukaan Shake Shack di Malaysia akan bermula tiga tahun lagi.
Beliau berkata, pihaknya bersama SPC Group turut menjangkakan akan mempunyai lebih daripada 45 cawangan Shake Shack diperluas di Korea, Singapura dan Malaysia.
"Kami terpesona dengan keghairahan peminat di seluruh dunia dan teruja melebarkan sayap di Asia Tenggara. Ini merupakan negara keenam kami (Malaysia) di Asia bersama-sama SPC Group," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perjanjian baharu itu meningkatkan jumlah cawangan Shake Shack dalam kontrak dengan SPC Group kepada 45 menjelang 2031.
SPC Group ialah syarikat makanan global terkemuka yang berpangkalan di Korea Selatan dengan 30 jenama dan lebih 7,000 kedai di seluruh dunia.
Dalam perkembangan sama, Naib Presiden SPC Group Korea, HeeSoo Hur pula berkata, SPC Group dan Shake Shack telah bekerjasama sejak lima tahun lalu dan mewujudkan perkongsian jangka panjang yang berjaya.
"Perkongsian ini telah membawa 28 cawangan Shack ke Korea dan Singapura sepanjang lima tahun yang lalu.
“Kami mengalu-alukan peluang untuk mengeratkan hubungan dan membawa misi jenama iaitu 'Stand for Something Good' ke Malaysia," katanya. - DagangNews.com








