Infomina dijangka raih kontrak baharu dalam tempoh tiga ke enam bulan, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Infomina dijangka raih kontrak baharu dalam tempoh tiga ke enam bulan, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - CGS-CIMB research mengunjurkan Infomina Berhad meraih beberapa lagi kontrak baharu dalam tempoh antara tiga ke enam bulan akan datang berdasarkan rekod cemerlang dan prestasi kukuh kumpulan itu.

 

Firma itu juga berkeyakinan bahawa kumpulan itu akan menerima manfaat daripada pelan perkembangan yang sedang dijalankan ke atas pelanggan baharu dan sedia ada dalam kerangka utama dan ruang transformasi IT.

 

Katanya, pada penghujung 1HFY5/23, kumpulan itu memiliki tunai sebanyak RM94 juta (10.6% daripada modal pasaran). 

 

"Kami mengunjurkan pembayaran dividen tahunan sebanyak 20% untuk FY23-25, diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 0.7% hingga 1%.

 

"Walaupun kumpulan itu berpotensi membayar lebih banyak dividen, kami percaya mereka akan menggunakan lebihan itu untuk membiayai projek berskala besar serta modal kerja bagi setiap anak syarikat di luar negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM42.0 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM6.4 juta bagi suku kedua untuk tiga bulan berakhir 30 November 2022 (2QFY23).

 

Penyumbang utama hasil bagi suku tersebut ialah segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan yang merangkumi RM27.2 juta atau 64.7% daripada jumlah hasil.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-25. 

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.70 sesaham.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana pendedahan unik kepada peningkatan permintaan dalam rangka utama dan perniagaan berkaitan, kedudukan serantau sebagai pengedar tambah nilai (VAD) tunggal di Asia Pasifik untuk perisian kerangka utama Broadcom selain profil pertumbuhan pendapatan yang teguh," katanya. - DagangNews.com