KUALA LUMPUR 9 Julai – Hartanah Kenyalang Berhad meraih kontrak terbesar dalam sejarah kumpulan dengan memperoleh projek pembinaan Wisma Jabatan Kerja Raya Sarawak yang bernilai RM283.9 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tender itu sekali gus mengukuhkan buku tempahannya dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sehingga projek itu siap.
Anak syarikatnya, Hartanah Construction Sdn Bhd, menerima surat penganugerahan bertarikh 9 Julai 2026 daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi melaksanakan projek awam berkenaan di Kuching.
"Kontrak ini merupakan projek terbesar pernah diperoleh sejak penubuhannya, sekali gus mencerminkan keupayaan kumpulan untuk melaksanakan projek pembinaan berskala besar," kata Hartanah Kenyalang.
Kumpulan tersebut menambah, projek terbaharu berkenaan dijadualkan bermula pada 23 Julai 2026, dan tempoh pelaksanaan kontrak selama 30 bulan, dengan dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Jelas syarikat pembinaan yang berpangkalan di Sarawak itu, kontrak berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan atau struktur pegangan saham syarikat dan kumpulannya.

Bagaimanapun, tender itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih Hartanah Kenyalang bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026 dan sepanjang tempoh pelaksanaan.
"Risiko yang berkaitan dengan kontrak adalah risiko operasi dan pelaksanaan yang lazim dihadapi dalam industri pembinaan, namun pihak pengurusan akan mengambil langkah sewajarnya," katanya.
Ujarnya, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang ada hubungan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak terkini.
Lembaga Pengarah Hartanah Kenyalang berpandangan penerimaan kontrak itu selaras dengan strategi pertumbuhan dan mampu memperkukuh kedudukan dalam sektor pembinaan, khususnya di Sarawak.
Kemenangan projek berprofil tinggi itu dijangka meningkatkan lagi rekod pelaksanaan projek kerajaan, selain pemangkin peluang lebih banyak kontrak pembinaan pada masa hadapan. - DagangNews.com








