KUALA LUMPUR 9 Julai – Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pembinaan 21 projek jambatan mega dengan nilai keseluruhan RM6.4 bilion sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan infrastruktur jangka panjang negeri itu.
Sebanyak 11 jambatan telah siap dibina, manakala enam lagi dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, siapnya Jambatan Batang Lupar 1 merupakan antara pencapaian utama di bawah inisiatif berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkukuh hubungan perhubungan dan mempercepat pembangunan di seluruh negeri.
“Kita sudah mula merasai manfaat daripada projek-projek jambatan ini. Pembangunan ini sedang mengubah landskap perhubungan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Sebuyau hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, semua projek jambatan mega itu dibiayai sepenuhnya menggunakan sumber kewangan negeri.
Beliau berkata, keupayaan Sarawak melaksanakan pembangunan infrastruktur berskala besar itu didorong oleh pertumbuhan hasil negeri yang kukuh di bawah kepimpinan Abang Johari, meningkat daripada RM5.6 bilion pada 2017 kepada RM14.2 bilion pada 2024.
Menurutnya, peningkatan hasil tersebut disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelaburan dalam infrastruktur penting termasuk jambatan, jalan raya, sistem bekalan air, rangkaian elektrik serta kemudahan telekomunikasi.
“Apabila tiada jalan raya, kita bergerak ke belakang. Apabila ada jalan raya dan jambatan, kita bergerak ke hadapan,” katanya.
Bukan Retorik
Mengulas kritikan khususnya daripada pihak pembangkang, Uggah berkata terdapat pihak yang sebelum ini menganggap rancangan pembangunan mega Premier Sarawak hanya sekadar retorik ketika ia mula diumumkan.
“Ada yang mendakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun selepas Abang Jo menjadi Premier.
“Hari ini, bukan sahaja ramalan itu terbukti salah, malah banyak daripada projek ini sudah siap dilaksanakan. Mereka yang menganggapnya sebagai janji kosong kini boleh melihat sendiri hasilnya,” katanya.
Uggah menyifatkan Abang Johari sebagai pemimpin berpandangan jauh yang berani membuat keputusan besar serta berkeupayaan mendapatkan sumber diperlukan bagi menjayakan agenda pembangunan Sarawak.
“Sarawak bertuah mempunyai pemimpin seperti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mempunyai visi, keberanian dan keupayaan untuk membawa pembangunan ke setiap pelosok negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak supaya terus menyokong kepimpinan Premier bagi memastikan visi pembangunan jangka panjang negeri itu dapat direalisasikan sepenuhnya. — DagangNews.com








