AirAsia X secara rasmi bertukar nama kepada AirAsia Group Berhad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X secara rasmi bertukar nama kepada AirAsia Group Berhad

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 JulaiAirAsia Group Berhad secara rasmi memulakan lembaran baharu selepas 14 hari diluluskan pemegang saham dan melengkapkan proses penukaran nama daripada AirAsia X Berhad.

 

Perkembangan itu sekali gus memperkukuh langkah strategik untuk muncul sebagai syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah utama di dunia menerusi penyatuan operasi dan rangkaian penerbangannya.

 

Penukaran nama itu berkuat kuasa pada 2 Julai 2026 selepas disokong ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-19 pada 25 Jun 2026, dan didaftarkan secara rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

"Penjenamaan semula itu bukan sekadar pertukaran identiti korporat, sebaliknya pembentukan sebuah kumpulan yang lebih kukuh, memacu fasa pertumbuhan baharu industri penerbangan global," katanya.

 

Penyatuan semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group menggabungkan kekuatan skala operasi, rangkaian laluan luas serta kos perjalanan udara yang lebih mampu milik kepada jutaan pelanggan.

 

Langkah itu juga dijangka membolehkan rangkaian penerbangan dioptimumkan, selain meningkatkan kesalinghubungan destinasi dan perluasan akses perjalanan udara harga rendah di seluruh rantau ini.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, kelulusan majoriti pemegang saham turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap hala tuju strategik syarikat.

 

Artikel berkaitan: Pemegang saham lulus usul khas tukar nama AirAsia X kembali asal kepada AirAsia Group Berhad

 

AirAsia_DagangNews2026

 

"Melalui penyatuan semua syarikat di bawah AirAsia Group, kami berada pada kedudukan kukuh untuk memperluas pengalaman perjalanan lebih lancar serta mencipta nilai kepada jutaan tetamu," katanya.

 

Menurut beliau, kumpulan kini memiliki kedudukan strategik dengan jumlah pesawat yang lebih besar, rangkaian laluan luas serta peluang pertumbuhan baharu industri pelancongan global ke Asia.

 

AirAsia Group akan terus mengekalkan disiplin pelaksanaan, tadbir urus korporat kukuh dan semangat keusahawanan yang menjadi identiti syarikat bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang.

 

Kata Jamaludin, dengan asas operasi yang lebih teguh serta sokongan tenaga kerja 'Allstars', AirAsia Group yakin akan mampu memperluaskan akses kepada perjalanan udara yang mampu milik.

 

"Kami meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan serta menerajui masa depan industri penerbangan sebagai syarikat rangkaian tambang rendah bertaraf dunia," katanya. - DagangNews.com