KUALA LUMPUR 9 Julai – Exsim Hospitality Berhad memperoleh kontrak reka bentuk dan bina kerja-kerja reka bentuk dalaman bernilai RM63.5 juta, dan dijangka menjana positif prestasi kewangan kumpulan.
Jelasnya, anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd menerima dan menerima pakai surat penganugerahan (LOA) tender tersebut bertarikh 9 Julai 2026 daripada Cosmopolitan Avenue Sdn Bhd.
Menurutnya, ia melibatkan kerja reka bentuk dan bina bagi reka bentuk dalaman, selaras kepakarannya dalam penyediaan perkhidmatan khusus untuk aset hospitaliti, kontraktor am dan perolehan berpusat.
"Projek bermula pada 9 Julai 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2026, melibatkan tempoh pelaksanaan selama lima bulan," kata Exsim Hospitality dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu tambahnya, projek berkenaan turut mempunyai tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan bermula daripada tarikh Sijil Siap Praktikal bagi memastikan mutu tinggi dan kualiti kerja yang dilaksanakan.
Penerimaan kontrak tersebut dijangka memberikan sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham (EPS) serta tahap penggearan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Menurut Exsim Hospitality, kontrak itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan 'fit-out' secara khusus, terutamanya bagi pembangunan hartanah dan aset hospitaliti.
"Cosmopolitan Avenue merupakan syarikat pelaburan hartanah dan pembangunan hartanah komersial, manakala projek itu diberi berdasarkan kepakaran teknikal dan pengalaman Exsim Concepto," katanya.
Kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada pelaksanaan kontrak tersebut selain risiko operasi biasa yang lazim dihadapi dalam industri pembinaan dan reka bentuk dalaman.
Tambah Exsim Hospitality, penerimaan tender itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, selain tiada kepentingan melibatkan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam kontrak.
Lembaga Pengarah berpandangan kerja itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan penerimaannya merupakan langkah terbaik demi kepentingan kumpulan, selain mengukuh aliran hasil. - DagangNews.com








