YNH yakinkan pemegang bon semua keingkaran teknikal telah dipenuhi, pelan perniagaan di landasan betul | DagangNews Skip to main content

YNH yakinkan pemegang bon semua keingkaran teknikal telah dipenuhi, pelan perniagaan di landasan betul

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 April - YNH Property Berhad (YNH) telah mengeluarkan penjelasan kepada pemegang bon melalui Malaysian Trustee Berhad berhubung keingkaran teknikal syarikat, hasil jualan pusat membeli-belah, cagaran bon dan pelantikan juruaudit baharu.

 

YNH menjelaskan mereka telah berjaya memperbetulkan keingkaran teknikal yang dinyatakan dalam pengumuman MARC Ratings bertarikh 8 April 2024.

 

Baki untuk bayaran bulanan kedua yang perlu dibayar pada 26 April 2024 juga telah dipenuhi dengan menambah dana dalam Akaun SPA.

 

Syarikat juga memberi jaminan ia akan mengekalkan pematuhan untuk mengelakkan kegagalan teknikal selanjutnya.

 

Mengenai penjualan Kiara 163 Retail Park, YNH berkata, urus niaga tersebut kini di peringkat akhir dan menunggu kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang. Urus niaga itu dijadual diselesaikan menjelang Jun 2024.

 

Menurut YNH, urus niaga ini sejajar dengan komitmennya untuk memaksimumkan nilai asetnya sambil memastikan kemampanan jangka panjang operasi perniagaannya.

 

Di samping itu, YNH juga mengesahkan maklumat cagaran bon yang diberikan dalam memorandum adalah tepat kerana ia berdasarkan penilaian bebas yang dijalankan oleh Jones Lang Wootton. Sehingga kini, tiada sebarang perubahan penting pada maklumat cagaran bon.

 

Dalam penjelasannya, YNH turut memaklumkan syarikat telah melantik Morison LC PLT sebagai juruaudit luar, mencerminkan komitmen syarikat untuk menegakkan standard tertinggi pelaporan kewangan dan ketelusan. - DagangNews.com