Yinson GreenTech, BEV bekerjasama kembangkan penggunaan aplikasi chargEV di Brunei | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson GreenTech, BEV bekerjasama kembangkan penggunaan aplikasi chargEV di Brunei

Pengarah Urusan DigitalEV, Sreedhar Sivasambu (kiri) dan Pengarah Eksekutif BEV, Ryan Phua saling bertukar dokumen perjanjian yang dimeterai mereka untuk menyepadukan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Brunei ke dalam aplikasi chargEV.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Yinson GreenTech dan BEV Charging Company (BEV) telah menandatangani perjanjian untuk bekerjasama menyepadukan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Brunei ke dalam aplikasi chargEV.

 

Ini membolehkan pemandu mengakses kepada lebih 1,000 stesen pengecas di seluruh Singapura, Malaysia dan Brunei dan lebih banyak stesen pengecas akan ditambah dalam beberapa bulan akan datang.

 

Yinson GreenTech merupakan anak syarikat Yinson Holdings Berhad yang menyediakan rumusan teknologi hijau manakala BEV adalah pengendali pengecasan kenderaan elektrik awam di Brunei.

 

Menerusi kerjasama ini, pemandu kenderaan di Brunei boleh menggunakan aplikasi chargEV untuk meneroka, mengaktifkan dan membuat pembayaran lancar dalam mata wang tempatan di stesen pengecas merentasi rantau ini.

 

Pengarah Urusan DigitalEV (cabang digital Yinson GreenTech), Sreedhar Sivasambu berkata  kerjasama itu menangani halangan pertumbuhan terbesar dalam industri EV di Brunei iaitu kebimbangan terhadap kepelbagaian.

 

“Yinson GreenTech telah membangunkan rangkaian rumusan digital pintar yang boleh membantu perniagaan, komuniti dan individu untuk beralih kepada EV dengan mudah dan murah.

 

“Kami berharap dapat membina ekosistem pengangkutan hijau yang menyumbang secara positif ke arah pencapaian matlamat sifar bersih Brunei,” ujar beliau dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BEV, Ryan Phua menambah bahawa aplikasi chargEV menjadi titik permulaan kepada matlamat syarikat itu untuk menyokong peralihan daripada kereta konvensional kepada EV.

 

“Ini memupuk gaya hidup sifar pelepasan karbon, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035. Penyertaan ke dalam aplikasi chargeEV hanya permulaan. Dengan kerjasama pemain industri tempatan yang lain dan kerajaan Brunei, kami bekerjasama untuk membina infrastruktur EV yang kukuh di keempat-empat daerah di Brunei,” katanya.

 

Perjanjian dengan BEV adalah susulan kerjasama serupa yang telah ditandatangani Yinson GreenTech dengan salah satu pengendali stesen pengecas EV di Singapura, ComfortDelGro ENGIE, pada Oktober 2023 yang telah membuka jalan bagi rangkaian pengecasan gabungan terbesar di seluruh Singapura dan Malaysia.

 

Dengan penambahan stesen pengecas di Brunei dan rancangan semua pihak untuk mengembangkan rangkaian masing-masing, pengguna aplikasi chargEV boleh memperoleh lebih banyak kemudahan dan akses lebih besar kepada rangkaian pengecas yang semakin berkembang di ketiga-tiga negara.  - DagangNews.com