KUALA LUMPUR 18 Okt - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science menerima peralatan-peralatan 'Makerspace' bernilai RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meningkatkan daya saing inovasi dan budaya penciptaan.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata, sumbangan itu merangkumi pelbagai jenis peralatan Makerspace iaitu komputer, pencetak 3D, smart TV, pemotong dan pengukir laser, set Arduino dan sebagainya.
"YIM melalui inisiatif pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) bermatlamat sebagai hab perkongsian pengetahuan dan kemahiran.
"Ia termasuklah pengalaman praktikal melalui kaedah 'Quintuple Helix' iaitu gabungan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat bersama pegawai-pegawai YIM bagi mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor di Pejabat Naib Canselor UMS baru-baru ini.
Sharmila berkata, beliau berharap sumbangan itu dapat memberikan manfaat secara menyeluruh terutama kepada semua warga UMS.
"Saya percaya dengan potensi besar masyarakat negeri Sabah untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau inovasi melalui kemudahan atau akses kepada peralatan-peralatan ini," katanya.

Dalam pada itu, Kasim dalam pertemuan tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada YIM menerusi sumbangan yang telah diberikan.
"Ini adalah sumbangan kedua yang diberikan YIM kepada U-Science, yang sebelum ini turut menyumbangkan peranti pintar.


"Saya berharap pelajar-pelajar UMS mahupun komuniti di sekitar UMS dapat mengambil peluang serta memanfaatkan dengan baik peralatan Makerspace ini," katanya.
Komitmen YIM dalam menyokong U-Science UMS melalui sumbangan peralatan Makerspace, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua organisasi inovatif ini dalam memastikan daya kreativiti dan penerokaan terus berkembang di Sabah. - DagangNews.com








