Yayasan CIMB sasar tanam 7,000 pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor dalam tempoh 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Yayasan CIMB sasar tanam 7,000 pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor dalam tempoh 2 tahun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Yayasan CIMB komited untuk menanam 7,000 pokok bakau menerusi inisiatif Pemuliharaan Hutan Bakau sekali gus memulihkan kawasan yang mempunyai jurang tumbuhan itu di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) dalam tempoh dua tahun akan datang. 

 

Dengan kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (LESTARI-UKM) serta The Malaysian Mangrove Research Alliance and Network (MyMangrove), projek itu akan terus dipergiat melalui usaha sukarelawan digabung dengan sumber dan penyelidikan pakar pemuliharaan serta badan bukan kerajaan alam sekitar yang akan membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membina biodiversiti dan ekosistem.

 

CIMB dan LESTARI-UKM dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan, inisiatif itu akan memberi impak kepada kira-kira 40% daripada 200,000 penduduk di daerah Kuala Selangor melalui perlindungan daripada kesan hakisan tanah, ribut dan lonjakan air pasang surut.

 

Selain memperbesar kawasan hutan bakau, projek itu akan membantu memulihkan kolam akuakultur terbiar dan dijangka memberi kesan limpahan kepada masyarakat di Kuala Selangor dengan menawarkan ekonomi tambahan untuk lima komuniti nelayan melalui penciptaan produk yang dikomersial serta dipasarkan. 

 

Jelas kenyataan itu, hutan bakau memainkan peranan penting dalam menghasil dan menyediakan ekosistem yang memberi manfaat kepada fauna serta komuniti sekeliling selain bertindak sebagai ejen dalam melindungi kitaran alam sekitar, iklim utama dan kekayaan biodiversitinya. 

 

Yayasan CIMB kini mengambil langkah aktif untuk mengurangkan kesan perubahan iklim melalui Inisiatif Pemuliharaan Hutan Bakau CIMB-UKM yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu Pendidikan dan Kesedaran, Pemulihan Habitat serta Penyelidikan dan Pembangunan. 

 

Program itu termasuk penanaman pokok bakau, nurseri, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem selain penyelidikan mengenai stok karbon serta sekuestrasi karbon dalam membangunkan mekanisme untuk pembiayaan karbon.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Mohamed Rafe Mohamad Haneef berkata, program yang diadakan itu adalah yang pertama di bawah pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.

 

Beliau berkata, selain bertujuan menyelamatkan alam sekitar, kerjasama sulung dengan UKM itu boleh dibangunkan sebagai tarikan pelancongan selain meningkatkan ekonomi setempat.

 

"Kita memulakan projek ini dengan UKM sejak dua tahun lalu sebelum pandemik COVID-19. Inisiatif ini adalah usaha menjaga hutan bakau yang berupaya penyerapan karbon dioksida serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus menghadapi perubahan iklim di Malaysia," katanya. - DagangNews.com