WCT kekal optimis dengan berhati-hati walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WCT kekal optimis dengan berhati-hati walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia berterusan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - WCT Holdings Berhad kekal optimistik dengan berhati-hati walaupun ekonomi domestik berterusan pulih di samping sentimen pengguna dan perniagaan bertambah baik, yang dilihat sebagai petanda baik kepada keseluruhan perniagaannya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata melangkah ke hadapan, bahagian kejuruteraan dan pembinaan akan memanfaatkan kepakarannya untuk memberi tumpuan dalam mengejar tender berkaitan infrastruktur dan bangunan di dalam negara dan di peringkat serantau.

 

“WCT mempunyai rekod prestasi terbukti kukuh di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk penyiapan Laluan MRT Putrajaya terdiri daripada Pakej V204 dan S204 dan kerja-kerja infrastruktur di Lusail Boulevard di pusat bandar Lusail, Doha, Qatar, iaitu tempat Piala Dunia FIFA 2022 dalam tahun kewangan 2022 (FY22),” ujar beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan secara maya hari ini.

 

Sementara itu, bahagian pembangunan hartanah akan memberi tumpuan kepada pelancaran baharu projek mewah mampu milik di Lembah Klang dan Johor sambil mempercepatkan jualan inventori hartanahnya memandangkan landskap hartanah mencabar pada masa ini, katanya.

 

Tambahnya, aktiviti pelancongan dan perniagaan yang kini teguh mendorong WCT untuk memberikan pelanggannya pengalaman eksklusif, promosi menarik dan tawaran makanan dan minuman unik kepada pelanggan di pusat beli-belah dan hotel kumpulan itu.

 

“Sebagai contoh, sempena cuti sekolah pada Jun 2023, WCT Malls melancarkan WCT Buddy Kids, lanjutan daripada program kesetiaan WCT Buddy yang sedang dijalankan oleh pusat beli-belah itu.

 

“Melalui WCT Buddy Kids, ahli Buddy dan anak-anak mereka boleh menikmati faedah menarik termasuk rangkaian aktiviti edutainment mengagumkan, termasuk yang ditawarkan oleh rakan kerjasama pusat membeli-belah masing-masing seperti HASBRO, Robocar Poli, Kiddypedia, Farm In The City dan The Bentong Farm,” ujar beliau.

 

Menurut Tuck Fook, pusat beli-belah itu telah mempunyai seramai 50,000 ahli Buddy dan 4,200 ahli Buddy Kids baharu sehingga kini.

 

WCT memiliki lima pusat beli-belah iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre, gateway@klia2, SkyPark Terminal Selangor, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru, manakala hotelnya terdiri daripada Première Hotel, Klang dan Le Méridien Paradigm, Petaling Jaya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), WCT telah menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 24% kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.7 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (FY21).

 

Manakala keuntungan bersihnya melonjak 32% kepada RM128.7 juta berbanding RM97.2 juta yang dicatatkan pada FY21.

 

Saham WCT ditutup pada 42 sen hari ini, naik 0.5 sen atau 1.2% dengan modal pasaran sebanyak RM595.6 juta. -DagangNews.com