KUALA LUMPUR 16 Mei - Penyedia pusat data berskala besar berpangkalan di Amerika Syarikat, Vantage Data Centers akan menambah pelaburan AS$3 bilion (RM13.32 bilion) untuk membina kampus pusat data kedua di Cyberjaya.
Vantage kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh tanah seluas 35 hektar untuk membangunkan kampus pusat data mega dikenali sebagai KUL2, yang terdiri daripada 10 pusat data dengan kapasiti teknologi maklumat (IT) 256MW (megawatt) merangkumi 2.75 juta kaki persegi.
Ini akan melengkapkan kampus pertama syarikat itu yang sedang dibangunkan dengan kemudahan 16MW .
Kedua-dua kampus dijangka menyediakan kapasiti IT sebanyak 287MW untuk memenuhi permintaan penyedia berskala besar, penyedia awan dan syarikat besar.
Vantage telah memeterai perjanjian dengan Cyberview, pemaju hab teknologi Cyberjaya, untuk merasmikan pelaburan tersebut pada majlis rumah terbuka Hari Raya Cyberview dan sambutan Ulang Tahun ke-26, hari ini.
Di samping itu, Cyberview turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Leave a Nest Malaysia (LVNS), anak syarikat teroka sains berpangkalan di Jepun bagi meningkatkan ekosistem teknologi dan inovasi di Cyberjaya.

Dengan sokongan daripada Cyberview dan 18 peserta tempatan, termasuk syarikat multinasional (MNC) daripada pelbagai sektor dan agensi kerajaan, LVNS menyasarkan untuk menjana RM100 juta dari impak ekonomi melalui program pembangunan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang turut menyaksikan pemeteraian kedua-dua perjanjian itu berkata Knight Frank mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data di Asia Tenggara disebabkan strategik negara, kestabilan persekitaran politik dan infrastruktur digital yang teguh.
“Memandangkan permintaan untuk ketersambungan dan perkhidmatan digital terus meningkat, pusat data akan memainkan peranan yang semakin kritikal dalam memperkasakan ekonomi digital kita. Selain infrastruktur yang kukuh, ekosistem inovasi yang berkembang maju akan menjadi pemboleh utama pertumbuhan dalam industri yang berkembang pesat ini,” kata Fahmi.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Dr Mohd Hafiz Ibrahim, berkata pada masa ini, 90% daripada penyedia kolokasi di Malaysia berpangkalan di Cyberjaya, memanfaatkan infrastruktur bertaraf dunia dengan sambungan gentian gelap.
“Selain mempertingkatkan infrastruktur Cyberjaya, kerjasama dengan Leave a Nest Malaysia juga akan memperkukuh budaya inovasi yang kami pupuk di bandar ini,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi Vantage bagi perniagaan Asia Pasifik, Giles Proctor berkata pengalaman positif di Cyberjaya telah mendorong syarikat itu mengambil langkah selanjutnya untuk memajukan infrastruktur digital bandar dengan membina kampus skala terbesar di rantau ini.
“Dengan peluang menarik di hadapan, Vantage komited untuk memacu inovasi, kemampanan dan pertumbuhan di rantau ini untuk memenuhi permintaan pelanggan global dan tempatan,” tambahnya. -DagangNews.com








