Jalan raya telah kembali lengang.
Setiap kali tibanya musim perayaan utama, lebuh raya di seluruh negara menyaksikan peningkatan trafik yang ketara. Dalam tempoh ini, perjalanan balik kampung, walau sejauh mana sekalipun, menjadi sebahagian daripada perayaan itu sendiri.
Mudah untuk melihatnya sebagai fenomena bermusim. Namun begitu, dalam banyak aspek, ia mencerminkan sesuatu yang lebih positif, antaranya pertumbuhan populasi, kegiatan ekonomi yang semakin rancak, serta mobiliti rakyat yang kian meningkat merentasi wilayah.
Apa yang kita saksikan dalam tempoh ini merupakan hasil semula jadi daripada kemajuan. Pembangunan berterusan Malaysia turut mendorong peningkatan permintaan terhadap infrastruktur pengangkutan, khususnya di laluan utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur.

Jaringan Jalan Raya Malaysia yang Menyokong Pertumbuhan
Malaysia kini mempunyai lebih 38 juta kenderaan berdaftar, satu angka yang menggambarkan perkembangan negara serta kadar pemilikan kenderaan yang tinggi dalam kalangan isi rumah.
Malah, jumlah ini terus meningkat, didorong oleh permintaan kukuh dan rekod jualan kenderaan baharu sebanyak 816,747 unit pada tahun 2024.
Pada masa ini, sekitar 20 peratus rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam. Namun begitu, rangkaian jalan raya kekal sebagai tulang belakang pergerakan harian negara. Ia menampung trafik kenderaan persendirian, bas serta lori berat di sepanjang koridor utama antara Lembah Klang dan Pantai Timur.
Dalam tempoh perjalanan puncak, kesesakan yang berlaku merupakan gambaran semula jadi bagi sebuah negara yang terus berkembang dan semakin aktif bergerak.
Seiring pertumbuhan ini, Malaysia mempunyai peluang untuk memperluas pilihan pengangkutan bagi penumpang dan perniagaan, di samping memastikan kapasiti infrastruktur terus berkembang selaras dengan aspirasi negara.
Pengangkutan sebagai Pemangkin Ekonomi
Rangkaian pengangkutan Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti ekonomi, menghubungkan pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat populasi di seluruh Semenanjung.
Menurut Bank Dunia, kos logistik di Malaysia menyumbang sekitar 13.7 peratus kepada KDNK, satu petunjuk jelas tentang skala aktiviti perdagangan dan rantaian bekalan negara.
Ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan logistik serantau, usaha memperluas kapasiti pengangkutan serta menyediakan lebih banyak laluan bagi barangan dan penumpang akan terus menyokong agenda ekonomi yang lebih luas.
Koridor Baharu yang Mengubah Landskap Pergerakan Negara
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan satu penambahan signifikan kepada ekosistem pengangkutan Malaysia.
Dengan jajaran sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, ECRL memperkenalkan satu koridor baharu bagi pergerakan penumpang dan kargo merentasi Semenanjung.
Pengurangan masa perjalanan kepada sekitar empat jam antara Pantai Timur dan Lembah Klang menawarkan pilihan yang lebih pantas dan efisien untuk perjalanan jarak jauh.
Selain penjimatan masa, ECRL turut membantu menyeimbangkan permintaan. Dengan menyediakan laluan alternatif, ia melengkapi rangkaian jalan raya sedia ada dan meningkatkan kapasiti keseluruhan sistem, selaras dengan pertumbuhan mobiliti dan aktiviti ekonomi.
Dimensi Pengangkutan Kargo
Pergerakan kargo merupakan sebahagian penting daripada ekosistem pengangkutan negara.
Sebahagian besar barangan yang bergerak antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang ketika ini bergantung pada pengangkutan jalan raya, disokong oleh industri lori yang menjadi tunjang ekosistem logistik Malaysia.
Pengangkutan rel pula menawarkan pilihan pelengkap bagi penghantaran kargo jarak jauh, sekali gus membolehkan pengangkutan jalan memberi tumpuan kepada pengedaran serta penghantaran ‘last mile’.
Laluan darat ECRL yang menghubungkan kedua-dua pelabuhan tersebut menyediakan satu lagi pilihan bagi pergerakan barangan yang lebih efisien, seterusnya memperkukuh aliran perdagangan negara.
Sebuah tren kargo mampu membawa muatan bersamaan beberapa buah lori. Apabila digabungkan dengan sistem jalan raya, ia membentuk rangkaian logistik nasional yang lebih kukuh dan saling terhubung.
Peluang yang Menanti di Hadapan
Menjelang permulaan operasi ECRL, tumpuan kini diberikan kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan sistem.
Pengangkutan rel beroperasi dalam persekitaran terkawal, dengan setiap peringkat disokong oleh proses ujian serta pemantauan yang ketat.
Bagi ECRL, ini termasuk ujian sejauh 8,000 km di bawah penyeliaan pihak berkuasa sebelum perkhidmatan komersial dimulakan — satu langkah yang mencerminkan komitmen terhadap operasi yang konsisten dan selamat.
Melangkah ke hadapan, fokus utama adalah untuk membangunkan sistem pengangkutan yang terus menyokong pertumbuhan Malaysia.
Rangkaian jalan raya akan kekal sebagai nadi utama, disokong oleh infrastruktur pelengkap yang meningkatkan kapasiti serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada penumpang dan perniagaan.
Menjelang Hari Raya akan datang, rakyat Malaysia bakal menikmati pilihan mod pengangkutan yang lebih pelbagai untuk perjalanan mereka. - DagangNews.com








