Usahawan muda Malaysia diperkasa melalui pertandingan FedEx Express/Junior Achievement International Trade Challenge | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usahawan muda Malaysia diperkasa melalui pertandingan FedEx Express/Junior Achievement International Trade Challenge

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - FedEx Express menganjurkan pertandingan FedEx Express/Junior Achievement International Trade Challenge (FedEx/JA ITC) Malaysia yang menyaksikan enam pelajar layak ke peringkat seterusnya untuk bersaing dengan peserta dari Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika (AMEA), baru-baru ini.

 

FedEx/JA ITC yang telah berlangsung selama 15 tahun, bertujuan untuk memperkasakan pelajar dengan pengetahuan am, pengalaman praktikal dan kemahiran penting dalam pengurusan perniagaan serta membimbing mereka untuk menjadi usahawan yang berwawasan. 

 

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, Tien Long Woon berkata, program ini telah memberi impak positif kepada lebih daripada 6,200 pelajar di Malaysia.

 

"Peserta mendapat faedah jangka panjang untuk prospek kerjaya masa depan mereka disamping perkembangan pemikiran global melalui penglibatan mereka dalam pertandingan FedEx/JA ITC ini.

 

"Pengalaman ini mengajar mereka untuk memikirkan konsep atau produk yang memberi impak kepada generasi masa depan. 

 

"Saya berasa bangga melihat impak dan perkembangan program FedEx/JA ITC yang mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih maju ke hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Untuk cabaran tahun ini, pelajar perlu menghasilkan alternatif lestari bagi produk penggunaan sekali pakai untuk pasaran Afrika Selatan. 

 

 

fedex

 

 

Tema pertandingan ini sejajar dengan inisiatif di FedEx yang bertujuan untuk mencapai matlamat operasi neutral karbon menjelang tahun 2040. 

 

Enam pelajar yang mewakili Malaysia di peringkat akhir ialah MushroFoam DUO (Audric Kwan dan Foong Sharlyne), THE PAPADAM ADDICTS (Lim Ann Nee dan Phoemie Tan Sin Lin) dan OrbGuard (Shavetha Gopi Chander dan Aveenash Kumar).

 

Pada pertandingan akhir yang akan berlangsung pada bulan ini, pelajar yang mewakili Malaysia akan bekerjasama dengan pelajar dari negara-negara lain untuk menghasilkan idea perniagaan baharu.

 

Pengalaman ini dapat mengukuhkan pengetahuan yang diperoleh oleh para pelajar, meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, memperkayakan pemahaman tentang perdagangan antarabangsa dan pertukaran idea. 

 

Peserta juga dapat bekerjasama dengan pasukan dari latar belakang yang berbeza, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi antarabangsa. - DagangNews.com