Untung bersih SP Setia pada 2QFY24 melonjak lebih RM295 juta hasil penjualan tanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SP Setia pada 2QFY24 melonjak lebih RM295 juta hasil penjualan tanah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Ogos - SP Setia Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM295.03 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), lonjakan 585% daripada RM43.06 juta setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu mengumumkan pendapatan RM1.49 bilion pada suku dalam tinjauan, peningkatan 58% berbanding suku kedua FY23 yang berjumlah RM942.71 juta.

 

"Untung sebelum cukai (PBT) Kumpulan untuk 2QFY24 sebanyak RM466.8 juta adalah lebih tinggi daripada suku sebelumnya sebanyak RM181.2 juta.

 

 

"Ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan jualan tanah di Taman Pelangi Indah 2, Johor," katanya hari ini.

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, SP Setia berkata, Kumpulan itu memperoleh keuntungan RM361 juta daripada penjanaan keuntungan strategik bank tanahnya di Taman Pelangi Indah 2, Johor dan Glengowrie, Semenyih pada 2QFY24.

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Choong Kai Wai berkata, pihaknya optimis terhadap operasi dan tinjauan kewangan untuk sepanjang tahun kewangan. 

 

"Prestasi ini menggariskan fokus strategik kami pada pasaran Malaysia, khususnya di wilayah Selatan dan Tengah.

 

"Memanfaatkan permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk pembangunan perindustrian, kami terus meneroka peluang pelaburan yang boleh dilaksanakan dan potensi perkongsian strategik untuk tanah kami yang kini diperuntukkan untuk pembangunan taman perindustrian khususnya di Setia Alaman dan Wilayah Selatan," kata Choong.

 

Kumpulan itu bersedia untuk mendedahkan projek utama seperti fasa pertama Bukit Persekutuan Setia di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur dengan anggaran GDV sebanyak RM1.4 bilion.- DagangNews.com