KUALA LUMPUR 12 Julai - Trajektori jualan AEON Co. (M) Bhd (Aeon) dalam segmen perkhidmatan runcit dan pengurusan hartanah dijangka positif pada suku-suku berikutnya, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ini didorong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, peningkatan sewa ruang sementara dan bilangan pengunjung lebih tinggi di pusat membeli-belah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Walaupun perbelanjaan runcit telah berkurangan selepas perayaan, firma itu berkata kadar penghunian pusat membeli-belah Aeon kekal melebihi 90%.
“Perbelanjaan perayaan dijangka memacu pertumbuhan pendapatan dalam segmen teras Aeon pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) tetapi berkemungkinan berkurang pada 3QFY23 memandangkan pendapatan isi rumah yang lebih ketat.
“Namun begitu, langkah pengurusan kos yang berterusan dapat mengimbangi sebahagian momentum jualan yang lebih lemah pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, Maybank IB berkata pusat membeli-belah baharu Aeon di KL Midtown akan siap dalam masa dua hingga tiga tahun yang kini dalam peringkat awal pembinaan dan tiada pusat membeli-belah baru akan dibuka sehingga itu.
Secara berasingan, projek tenaga boleh diperbaharui Aeon berada di landasan yang betul kerana ia menyasarkan untuk memasang panel solar fotovoltaik di semua pusat beli-belah miliknya, kata firma itu.
Setelah selesai, kumpulan itu menjangkakan dapat mengurangkan jumlah penggunaan tenaga sebanyak kira-kira 6% hingga 10%, di mana kos tenaga merangkumi 4.4% daripada hasil pada FY22.
Maybank IB berkata unjuran pertumbuhan pendapatan FY23 sebanyak 5% telah mengambil kira margin segmen perkhidmatan runcit dan pengurusan hartanah masing-masing sebanyak 6% dan 37% (FY22: 6% dan 37% setiap satu).
“Dalam usaha untuk membezakan campuran kedainya, Aeon juga bersedia untuk melancarkan lebih banyak kedai berkonsepkan Jepun, sambil terus meremajakan pusat beli-belah sedia ada untuk pengalaman pengguna yang segar,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ denan harga sasaran (TP) RM2 sesaham.
Saham Aeon dilihat mendatar pada RM1.27 sejak 7 Julai, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.78 bilion. - DagangNews.com








