KUALA LUMPUR 30 Jun - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA Malaysia) memilih Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Bhd, Datuk Zaini Yusoff sebagai presidennya yang baharu bagi penggal 2026/2028.
Sementara itu Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan IJM Corporation Bhd, Datuk Edward Chong Sin Kiat dilantik sebagai timbalan presiden dalam pemilihan semasa Persidangan Perwakilan Tahunan REHDA Malaysia pada Sabtu lalu.
Datuk Ho Hon Sang secara rasmi menyerahkan jawatan presiden kepada Zaini, manakala Edward yang juga Pengerusi REHDA Selangor mengambil alih jawatan timbalan presiden yang sebelum ini disandang oleh Zaini, menurut kenyataan REHDA.
Susulan pelantikan itu, Zaini merakamkan penghargaan kepada Ho atas dedikasi dan komitmen beliau sepanjang dua tahun menerajui persatuan tersebut.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ho atas dedikasi dan ketekunan beliau sepanjang dua tahun lalu. Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan beliau dalam kapasiti baharu sebagai presiden terdahulu, bersama ahli jawatankuasa eksekutif dan ahli majlis kebangsaan persatuan yang dihormati ini.
"Dengan sokongan semua pihak, saya komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, berpandukan prinsip responsif, dihormati, bertanggungjawab dan relevan," katanya.

Barisan kepimpinan baharu yang turut dipilih terdiri daripada presiden terdahulu, Datuk N K Tong; naib presiden, Datuk Charlie Chia Lui Meng dan Datuk Tiah Oon Ling; setiausaha agung, Datuk Tan Hon Lim; timbalan setiausaha agung, Carrie Fong Kah Wai; serta bendahari kebangsaan yang juga Pengerusi Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk David Lim Boon Huat.
Turut menganggotai jawatankuasa eksekutif ialah Datuk Seri F D Iskandar dan Datuk Seri Azmir Merican Azmi Merican.
Ahli Majlis Kebangsaan yang dipilih mewakili cawangan negeri pula terdiri daripada Pengerusi Cawangan Johor, Gerard Soosay Soosay Muthu; Pengerusi Cawangan Kedah/Perlis, Loh Wai Keat; Pengerusi Cawangan Kelantan, Datuk Seri Mohd Rushdan Mohd Yusoff; Pengerusi Cawangan Melaka, Datuk Ngoh Chun How; Pengerusi Cawangan Negeri Sembilan, Datuk Hoo Kim See; Pengerusi Cawangan Pulau Pinang, Datuk Chan Soo How; Pengerusi Cawangan Pahang, Edwin Ng Aik Win; Pengerusi Cawangan Perak, Loh Ban Ho; dan Pengerusi Cawangan Terengganu, Cheam Yun Tat.
Ahli Majlis Kebangsaan lain yang turut berkhidmat bagi penggal tersebut ialah Tan Lindy, Datuk Desmond Yap Poh Seng, Azhar Shaharudin, Datuk Chan Kin Meng, Tan Ching Meng, Lee Han Rick, Datuk Tay Chor Han, May Ang Chan Moy, Shanaz Azwin Datuk Hj Muztaza, Chong Sau Min dan Chan Jin-Wy. - DagangNews.com








