KUALA LUMPUR 23 Feb – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperuntukkan kira-kira RM1.83 juta bagi pembelian kenderaan elektrik (EV) merangkumi sebuah bas, lima unit Proton e.MAS 7 dan 20 unit skuter eBike dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau di kampusnya.
Perolehan itu dilaksanakan menerusi usahasama antara anak syarikat universiti, UMT Holdings Sdn Bhd dengan rakan industri luar, sebagai sebahagian pendekatan strategik memperkasa teras kelestarian dan pendigitalan kampus.
Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pelancaran dan penyerahan rasmi kenderaan EV tersebut bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen institusi terhadap pengurangan jejak karbon, kecekapan tenaga dan pembudayaan gaya hidup rendah karbon dalam kalangan warga kampus.
“Sebagai universiti berteraskan kelautan dan sains marin, kita perlu mempraktikkan prinsip kemampanan dalam tadbir urus serta operasi harian, bukan sekadar membincangkannya di bilik kuliah atau forum akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan penyerahan sebuah bas EV daripada syarikat SKS, lima unit Proton e.MAS 7 serta 20 unit skuter eBike untuk kegunaan 18 pusat tanggungjawab di dalam kampus bagi urusan pentadbiran dan operasi dalaman.


Menurut beliau, inisiatif itu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kemampanan, inovasi dan pembinaan bakat masa hadapan, di samping menyokong aspirasi nasional ke arah ekonomi rendah karbon.
UMT juga sedang merangka penyediaan kemudahan pengecasan EV di beberapa lokasi strategik kampus bagi memastikan ekosistem mobiliti hijau dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.

Dalam masa sama, universiti berkenaan mempergiat pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Kampus Pintar melalui penggunaan teknologi rendah karbon, operasi digital sepenuhnya, sistem keselamatan siber bersepadu serta infrastruktur ICT pintar.
UMT sebelum ini mengumumkan lonjakan dalam QS World University Rankings 2026 dengan kedudukan 801–850 dunia, selain diiktiraf sebagai universiti nombor satu Malaysia dalam bidang Marine and Freshwater Biology oleh U.S. News & World Report.
Tahun 2026 turut menyaksikan sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan UMT dengan tema “Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara”, sekali gus memperkukuh peranan universiti itu sebagai hab penyelidikan dan inovasi dalam bidang ekonomi biru, perubahan iklim serta kesihatan bumi.
Pelancaran kenderaan EV tersebut menjadi manifestasi komitmen berterusan UMT dalam menjadikan kelestarian sebagai budaya institusi, selari dengan slogan universiti, “Terokaan Seluas Lautan, demi Kelestarian Sejagat.” - DagangNews.com








