KUALA LUMPUR 3 Julai – TFP Solutions Berhad mengukuhkan kedudukannya dalam industri teknologi acara apabila anak syarikat milik penuhnya, Softfac Technology Sdn Bhd dilantik sebagai penyedia eksklusif sistem pengurusan tiket konsert bagi semua acara hiburan berbayar yang dianjurkan oleh Pluotos Entertainment Sdn Bhd.
Pelantikan itu dimeterai menerusi Perjanjian Perkhidmatan Tiket dan Kerjasama Strategik pada 2 Julai 2026 yang memberikan Softfac hak eksklusif untuk menguruskan sistem tiket bagi konsert, festival serta program hiburan komersial yang bakal dianjurkan oleh Pluotos sepanjang tempoh perjanjian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pluotos tidak dibenarkan melantik mana-mana penyedia platform tiket lain atau mengintegrasikan sistem tiket pihak ketiga bagi acara berkenaan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Softfac.
“Di bawah perjanjian itu, Softfac bertanggungjawab menyediakan keseluruhan ekosistem jualan tiket termasuk infrastruktur pengkomputeran awan, sistem tempat duduk, penetapan harga tiket, pengurusan tiket VIP, kuota penaja, selain memproses pembayaran menerusi kad kredit, kad debit, Perbankan Internet FPX serta dompet digital yang dibenarkan.
“Softfac turut akan menyediakan sistem pengesahan kod bar dan kod QR di pintu masuk acara, termasuk peranti pengimbas, perisian serta kakitangan teknikal bagi memastikan proses kemasukan penonton berjalan lancar dan selamat,” katanya dalam makluman itu.
Sementara itu, Pluotos bertanggungjawab menyediakan bahan promosi, maklumat harga tiket serta susun atur tempat duduk, selain mendapatkan semua kelulusan dan permit yang diperlukan termasuk daripada Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekiranya berkaitan.
Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu memastikan lokasi acara dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi, bekalan elektrik dan infrastruktur pintu masuk yang sesuai bagi menyokong operasi sistem tiket yang dikendalikan oleh Softfac.
Perjanjian itu berkuat kuasa selama setahun bermula tarikh kuat kuasa dan akan diperbaharui secara automatik bagi tempoh setahun berikutnya, melainkan salah satu pihak memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya 60 hari untuk tidak meneruskannya.
TFP berkata, kerjasama strategik itu selaras dengan perancangan kumpulan untuk mengembangkan perniagaan penyelesaian teknologi, khususnya dalam industri tiket digital dan teknologi acara yang semakin berkembang di Malaysia.
Menurut syarikat itu, perjanjian berkenaan dijangka mewujudkan aliran pendapatan berulang kepada kumpulan melalui siri konsert dan acara yang bakal dianjurkan oleh Pluotos, selain membuka peluang kepada pembangunan platform teknologi tiket konsert serta pangkalan data pengguna secara bersama pada masa hadapan.
Dari sudut kewangan, TFP menjelaskan perjanjian itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan, modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 kerana tiada nilai kontrak didedahkan.
Bagaimanapun, syarikat berpandangan kerjasama tersebut berpotensi menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan, selain mengukuhkan kedudukan TFP sebagai penyedia penyelesaian teknologi dalam segmen pengurusan tiket digital dan teknologi acara. - DagangNews.com








