Tender baharu TNB penuhi 21% unjuran untung kasar Southern Cable pada FY26, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tender baharu TNB penuhi 21% unjuran untung kasar Southern Cable pada FY26, kata Kenanga Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 JulaiKenanga Research menjangkakan tender baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu menyumbang sehingga 21% daripada unjuran keuntungan kasar Southern Cable Group Berhad.

 

Menurut analisis firma tersebut, perkembangan berkenaan mengukuhkan prospek pendapatan syarikat pada tahun kewangan 2026 (FY26), berikutan kesan positif kontrak bernilai RM404 juta yang diterima itu.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham, berikutan keyakinan terhadap permintaan berterusan kabel tenaga disokong pembangunan infrastruktur grid.

 

"Kami difahamkan, Southern Cable memperoleh lanjutan kontrak TNB bagi pembekalan kabel bawah tanah voltan rendah (LV), voltan sederhana (MV) dan konduktor untuk bahagian pengagihan," jelas Kenanga.

 

Ujarnya, tender tambahan tersebut memanjangkan tempoh pembekalan sehingga Ogos 2027 dan turut merangkumi pilihan lanjutan sehingga 30% atau kira-kira RM121 juta daripada nilai kontrak asal.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di bawah kerangka Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4), jumlah keseluruhan kontrak yang diperoleh kumpulan tersebut daripada TNB setakat ini mencecah RM929 juta.

 

Artikel berkaitan: Southern Cable raih kontrak tambahan RM403.6 juta daripada TNB, tempahan melebihi RM1 bilion

 

Southern Cable_DagangNews2026

 

Kata Kenanga, jika pilihan tambahan 30% dilaksanakan dan sebahagian besar kontrak melibatkan kabel dengan margin tinggi, Southern Cable berpotensi pula menjana keuntungan kasar mencecah RM60 juta.

 

"Jumlah ini bersamaan kira-kira 21% daripada unjuran keuntungan kasar FY26, sekali gus menjadikan kontrak TNB sebagai pemacu penting pertumbuhan pendapatan jangka sederhana syarikat," katanya.

 

Ia turut menjangka permintaan kabel kekal kukuh susulan 3.8GW Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) yang dimeterai TNB, memerlukan sambungan grid berskala besar dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Aliran projek tersebut jelas Kenanga, dijangka mempercepatkan tempahan baharu bagi kabel tenaga dalam beberapa suku akan datang, sekali gus menyokong keterlihatan pendapatan Southern Cable.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan tanpa perubahan kerana kemenangan kontrak ini selaras dengan jangkaan penambahan buku tempahan kumpulan sebanyak RM2 bilion bagi FY26.

 

"Kami berpandangan syarikat ini pada kedudukan kukuh sebagai antara pengeluar utama kabel lengkap TNB bagi meraih kontrak baharu selari peningkatan permintaan grid nasional," katanya. - DagangNews.com